KTM RC 490 Jalani Ujian, Guna Enjin CFMoto 450 SR-S?

Selepas lama ‘senyap’, projek KTM RC 490 kini muncul semula dengan imej spyshot yang menunjukkan jentera sportbike ini sedang diuji di Eropah dan menariknya menggunakan enjin dan komponen dipercayai daripada CFMOto

TERKINI

9/5/20252 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal Austria, KTM sememangnya diketahui menjalin kerjasama strategik dengan beberapa lagi pengeluar berstatus gergasi lain dan antaranya adalah dari China, CFMoto.

Menerusi kerjasama itu, beberapa model CFMoto dibangunkan dengan bernadikan enjin daripada KTM tetapi menariknya, CFMoto turut membangunkan enjin mereka sendiri yang kemudian memacu beberapa model keluarannya.

Perkembangan terbaharu, tertiris beberapa imej intip yang memperlihat KTM sedang menguji beberapa model dan antara paling mengujakan adalah model 'Sportbike' dipercayai KTM RC 490.

Sebenarnya, idea mengenai platform 490 cc KTM sudah lama berlegar dengan KTM dijangka akan membangunkan model sub 500 cc ini dengan bantuan Bajaj memandangkan pengeluar dari India itu memang menghasilkan model bersesaran dari 125 cc sehingga 390 cc.

Dijangka untuk dilancarkan pada tahun 2022, tetapi ia terpaksa ditangguhkan selepas KTM mendapati kos pembangunannya menelan belanja yang terlalu besar sehingga ramai yang menganggap projek ini sudah ‘terkubur’.

Tetapi perkembangan terbaharu ini membuktikan projek 490 ini nampaknya kembali bernyawa selepas prototaip yang dikenal pasti sebagai KTM RC 490 dilihat sedang giat menjalani ujian jalan raya di Eropah.

Persoalannya, bagaimana KTM mampu membangunkan prototaip serba baharu ini dengan pantas?

Jawapan yang mudah dan mungkin paling logik adalah dengan meminjam sebahagian besar komponen daripada rakan strategik mereka iaitu CFMoto.

Seperti diketahui, kerjasama kedua-dua jenama ini bukan calang-calang. CFMoto bertanggungjawab menghasilkan model 790 untuk KTM, termasuk 790 Duke dan 790 Adventure. Malah, enjin LC8c 799cc itu turut diguna pakai pada model CFMoto seperti 800MT dan 800NK.

Jadi, memandangkan CFMoto sudah pun memiliki platform enjin 450 cc parallel-twin dengan 270-degree crank yang terbukti mantap pada model 450SR, 450NK, dan 450MT, maka proses pembangunan KTM RC 490 menjadi jauh lebih cepat dan jimat.

Sekalipun imej spyshot itu jelas memaparkan sebuah jentera KTM, terutamanya dengan reka bentuk agresif yang diinspirasikan daripada RC 990, beberapa elemen dari CFMoto 450SR turut kelihatan.

Antara yang paling ketara ialah penggunaan lengan ayun (swingarm) jenis ‘single-sided’ yang menjadi identiti 450SR. Bukan itu sahaja, bahagian footpeg, tuil gear, dan tongkat sisi juga nampaknya dikongsi terus daripada platform CFMoto 450 SR.

Dari sudut trenkuasa, enjin parallel-twin 450 cc yang terdapat pada CFMoto 450SR ini mampu menjana sekitar 50 Hp dan tork 39 Nm dengan konfigurasi crank 270-darjah juga memberikan karakter enjin yang lebih 'bernyawa' dan bunyi seakan-akan enjin V-Twin, sesuatu yang pasti kena dengan DNA KTM.

Persoalannya sekarang, bilakah model ini akan dilancarkan secara rasmi? Dan yang paling penting, adakah ia akan masuk ke pasaran Malaysia bersaing sesama sendiri? Sama-sama kita nantikan.