KTM, Red Bull Bergabung Nak Dapatkan Jorge Martin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/15/20241 min read

KTM dilaporkan memasuki 'pertarungan' untuk mendapatkan tanda tangan pendahulu MotoGP 2024, Jorge Martin dan menariknya dikatakan turut mendapatkan 'bantuan' syarikat gergasi Red Bull.

Pelumba pasukan satelit Pramac Ducati, Martin sebelum ini menegaskan tidak akan bersama Ducati musim depan jika tidak disenarai dalam pasukan 'kilang' Ducati Lenovo.

Setakat ini, Ducati Corse masih belum memutuskan pelumba yang akan bergandingan dengan Francesco Bagnaia bagi musim 2025 dengan tiga calon utama adalah Martin, Marc Marquez dan Enea Bastianini.

Sekalipun tampil cemerlang termasuk merangkul kemenangan berganda di Grand Prix Perancis minggu lalu, prestasi yang ditampilkan Marquez yang juga juara dunia lapan kali dan kini bersama Gresini Ducati turut 'memeningkan' Ducati.

Malah dengan apa yang sudah dilakukan Martin setakat ini, ia nampaknya masih belum berjaya memikat hati Ducati yang akhirnya menarik minat pasukan lain - yang juga memiliki jentera berpotensi - Aprilia.

Dan selain Aprilia, menurut laporan media Sepanyol, Marca, syarikat pengeluar motosikal gergasi Austria, KTM turut berminat mendapatkan khidmat pelumba itu.

Bagi Martin, KTM bukanlah asing untuknya dan dia pernah berlumba bersama pasukan kendalian Aki Ajo KTM di Moto2 sebelum ini.

Sekalipun graduan 'sekolah' KTM, Martin tidak menyertai pasukan itu di MotoGP kerana jentera KTM ketika itu dikatakan masih belum kompetitif seperti ketika ini dengan RC16 dianggap salah satu jentera terbaik di grid.

Marca menambah, KTM cukup serius dan bersedia untuk memberikannya gaji yang lebih besar berbanding Aprilia dan ia adalah jumlah yang cukup kompetitif selain tajaan bersama Red Bull.

Selain itu, Ketua Pasukan KTM, Francesco Guidotti juga boleh menjadi daya penarik kerana beliau adalah bos di Prima Pramac dan tidak asing dengan Martin.

Untuk Aprilia yang turut memiliki jentera kompetitif RS-GP24, Marca melaporkan pasukan berpangkalan di Noale, Itali itu akan mencari ruang untuk memasukkan Martin jika berpeluang.

Pasukan itu ketika ini masih belum mengesahkan pelumba yang akan berlumba bagi kempen 2025 tetapi memiliki kemungkinan Aleix Espargaro bersara atau Maverick Vinales berkemungkinan terpikat dengan tawaran lumayan Honda.