KTM Sah Dapat 'Talian Hayat'
TERKINI
5/20/20252 min read


KTM kembali dihimpit situasi meresahkan apabila tarikh akhir untuk syarikat pengeluar motosikal gergasi Austria itu untuk membayar kuota hutangnya adalah pada penghujung minggu ini.
Sejak penghujung tahun lalu, KTM mengharungi krisis kewangan terburuk yang menyaksikannya terpaksa melaksanakan pentadbiran sendiri dan melaksanakan proses penstrukturan semula bagi mengelakkan kebankrapan.
Dalam tempoh itu, syarikat itu terpaksa membuang pekerjanya, menghentikan proses pengeluaran motosikal, menstruktur semula lembaga pengarah dan menjual saham dalam pelbagai pelaburan yang dibuat termasuk MV Agusta.
Pada Februari, KTM meraih kemenangan besar di mahkamah apabila proses penstrukturan semulanya diluluskan oleh pemiutang.
Perjanjian itu menyaksikan KTM membayar 30 peratus daripada keseluruhan hutangnya yang melebihi € 2 bilion (RM 9.68 bilion) menjelang 23 Mei 2025.
Sekalipun banyak syarikat menunjukkan minat untuk melabur dalam KTM, tetapi tiada perjanjian yang dimeterai sekali gus membuatkan syarikat itu berlumba dengan masa untuk mendapatkan pembiayaan yang diperlukan.
Dan syarikat itu, semalam mengesahkan mereka sudah memperoleh dana untuk membayar kuota hutangnya itu.
Sebelum itu, laporan di India pada awal minggu ini melaporan bahawa pemegang saham utama, Bajaj Auto, sudah pun mengambil pinjaman sebanyak € 566 juta (RM 2.47 bilion) dengan tujuan melunaskan hutang KTM.
Bajaj Auto mengeluarkan satu kenyataan pada Isnin lalu yang tidak menafikan laporan itu, tetapi tetap berdiam diri mengenai tujuan sebenar pinjaman itu—yang sudah pun diluluskan oleh pelbagai bank.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh KTM pada awal pagi Selasa, syarikat itu mengesahkan bahawa ia mereka sudah pun memperoleh pembiayaan yang diperlukan, tetapi tidak menyatakan bahawa Bajaj Auto terbabit secara langsung.
"Seperti yang diumumkan, para pemiutang KTM AG, KTM Components GmbH dan KTM Forschungs & Entwicklungs GmbH sudah meluluskan kuota pelan penstrukturan semula sebanyak 30 peratus pada 25 Februari 2025, yang perlu dibayar menjelang 23 Mei 2025.
"Jumlah keseluruhan yang diperlukan untuk membiayai kuota di bawah tiga pelan penstrukturan semula ini adalah sekitar € 600 juta (RM 2.9 bilion).
"PIERER Mobility AG dan KTM AG sudah menerima komitmen pembiayaan, tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian yang diperlukan, yang akan memastikan pembayaran kuota bagi memenuhi pelan penstrukturan semula KTM AG, KTM Components GmbH dan KTM Forschungs- & Entwicklungs GmbH dapat diselesaikan tepat pada masanya menjelang 23 Mei 2025."
Situasi itu turut menyaksikan Bajaj Auto berkemungkinan akan mempunyai pengaruh yang lebih besar dalam KTM selepas ini hasil daripada pelaburan itu.
