KTM Singkir Pol Espargaro Bagi Laluan Pedro Acosta Di Tech3 GASGAS

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/7/20231 min read

KTM menerusi pasukan satelitnya, Tech3 GASGAS mengesahkan penyingkiran Pol Espargaro bagi memberi laluan kepada Pedro Acosta di MotoGP musim depan.

Keputusan itu menyaksikan Acosta yang juga pendahulu kejuaraan dunia Moto2 musim ini akan bergandingan dengan juara dunia Moto2 musim lalu, Augusto Fernandez.

Turut mengekalkan posisi masing-masing dalam kem KTM adalah Jack Miller dan Brad Binder dalam pasukan 'Factory'.

KTM sebelum ini berdepan dilema untuk meletakkan Acosta ke MotoGP musim depan bagi menghalang pelumba berbakat itu dipikat pasukan lain.

Tetapi harapan pengeluar Austria itu untuk mendapatkan lima 'seat' di MotoGP musim depan tak berjaya yang memaksa polemik berlaku sebelum Espargaro terpaksa dilepaskan.

Espargaro sebelum ini digambarkan oleh KTM sebagai 'watak penting dalam program MotoGP KTM'.

Setakat ini, tiada sebarang maklumat rasmi sama ada Espargaro akan kekal bersama KTM dan bergelar pelumba ujian atau gantian.

"Augusto Fernandez, akan kekal bersama skuad GASGAS Factory Racing Tech3 untuk musim keduanya di saingan tahap tinggi," kata KTM dalam satu kenyataan.