KTM Super Duke 1390 Hampir Lengkap, Pelancaran Dijadual Tahun Depan?

TULAR

8/18/20231 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal terkemuka Austria, KTM sedang sibuk menyiapkan jentera 'Hyper Naked' serba baharu jenama itu, KTM Super Duke 1390 dan jentera 'ganas' dilaporkan bakal menerjah pasaran tahun depan.

Seperti namanya, KTM Super Duke 1390 bakal dipadankan dengan trenkuasa serba baharu dan lebih berkuasa berbanding 1290 (ketika ini).

Selain imej ujian yang berjaya diperoleh sebelum ini, terbaharu turut 'bocor' baru-baru ini adalah dokumen membabitkan harga trenkuasa serba baharu LC8 V-Twin edisi 2024 itu di atas talian.

Tampil dalam dua versi, apa yang menarik adalah trenkuasa baharu itu turut dikatakan datang dalam versi automatik.

Dan harga yang dipaparkan untuk kedua-dua trenkuasa itu adalah 8,806 euro (RM 48,320).

Sekalipun masih berstatus 'Tak tersedia' selain tidak diberikan maklumat lanjut, tetapi antara maklumat penting yang turut terdedah adalah singkatan tambahan 'CN' yang memberi petunjuk dia mungkin dihasilkan di China.

Dengan tambahan kapasiti enjin, kuasa dan tork yang bakal dijana KTM Super Duke 1390 juga dikatakan bakal meningkat melebihi model 1290 (180 Hp, tork 140 Nm).

Dari sudut penampilan, antara perubahan ketara yang berlaku adalah di bahagian lampu depan. Berbanding model 1290 yang menggunakan rekaan lampu bersebelahan, lampu KTM Super Duke 1390 diposisikan secara menegak seperti model Suzuki GSX-S1000.

Selain itu, KTM Super Duke 1390 turut dilihat tidak memiliki 'Winglet' tetapi sebagai model prototaip, ia mungkin akan dipasang kemudian. Turut tersedia adalah tambahan kit di bahagian panel sisi yang juga tampak lebih rendah berbanding model terdahulu.

Perincian lain seperti bahagian suspensi, lengan ayun dan sistem brek begitupun nampaknya tidak mengalami perubahan.

Dan berikutan tarikh imej yang 'terdedah', dijangkakan KTM Super Duke 1390 akan mungkin ditayangkan secara rasmi pada penghujung tahun ini dan lebih menarik, akan dijual seawal pada musim bunga tahun depan.

Sumber: Motorrad