'KTM Tiada Kapten Di MotoGP 2025'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/20/20241 min read


KTM bakal dipacu empat pelumba cukup berkualiti bagi kempen MotoGP musim 2025 menerusi Brad Binder, Pedro Acosta, Maverick Vinales dan Enea Bastianini.
Dibarisi pelumba berstatus bintang, ia dijangka memberikan 'pening kepala' buat pengeluar Austria itu namun menurut bos Pengarah Sukan Permotoran KTM, Pit Beirer, tiada pelumba diberikan label nombor satu dalam pasukannya.
Malah jika komponen baharu tiba dalam unit terhad, pasukan itu akan membahagikan komponen itu mengikut kedudukan di kejuaraan.
"Kami bercakap dengan keempat-empat pelumba kami bagaimana kami akan bekerja di masa depan," kata Beirer memetik laporan Crash.net.
"Kami benar-benar cuba untuk menggabungkan setiap pelumba dengan orang di sekeliling mereka dan kemudian memberikan jentera yang cukup sama pada permulaan musim.
"Pelannya bukan memberikan perkakasan baharu ke trek kepada hanya seorang pelumba untuk dicuba, tetapi kamu mungkin mendapat peluang untuk menggunakan sesuatu yang baru, ia lebih baik, tetapi kamu hanya mampu menghasilkan satu untuk seorang pelumba.
"Jadi untuk itu, pelumba terbaik dari sudut kedudukan mata akan memperolehnya.
"Kapten pasukan akan menjadi pelumba yang berada di kedudukan teratas carta pungutan mata dalam kumpulan kami. Kemudian diikuti nombor dua, tiga...
"Ia bukan seperti kebiasaan (situasi biasa di MotoGP) di mana satu garaj adalah pasukan 'kilang' dan satu lagi pasukan satelit. Pasukan 'kilang' akan memperoleh komponen baharu dan satelit kedua.
"Ia kini bergantung kepada pelumba untuk mendapatkannya."
KTM ketika sudah pun menggunakan perkara sama dengan memberikan Acosta - yang menjadi pelumba terbaik di carta MotoGP ketika ini - komponen baharu sekalipun berlumba bersama pasukan satelit GasGas Tech3.
Dan polisi yang digunakan itu, termasuk apa yang ditunjukkan oleh juara dunia Moto2 itu musim ini berjaya menjadi daya penarik untuk Vinales dan Bastianini menyertai KTM.
