KTM Tiada Rancangan Ganti Jack Miller Dengan Pedro Acosta Musim Ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/18/20241 min read
KTM menafikan desas desus yang mendakwa pasukan itu berkemungkinan akan menggantikan tempat Jack Miller bersama pasukan 'Factory' MotoGP dengan Pedro Acosta pada musim ini.
Selepas tiga pusingan, prestasi yang ditampilkan pelumba 'Rookie' MotoGP pasukan itu yang beraksi bersama pasukan satelit, Red Bull GasGas Tech3, Acosta jelas lebih menyakinkan berbanding Miller.
Ini termasuk dua kedudukan podium berturut-turut yang diraih Acosta di Portugal dan Amerika Syarikat yang menyaksikannya mengisi tangga ke-4 carta pelumba dengan Miller di tangga ke-10 yang mencetus khabar angin posisi kedua-duanya bakal berubah.
Memetik laporan Motorsport-Magazin, Pengarah Sukan Permotoran KTM, Pit Beirer menjelaskan ia tidak akan berlaku sekalipun mengakui secara kontrak, ia boleh dilakukan.
"Pencapaian Pedro jelas sesuatu yang amat dibanggakan. Tetapi tidak, ia bukan pilihan untuk kami.
"Kesemua empat pelumba kami di MotoGP mempunyai kontrak 'Factory'. Jadi kamu tidak terikat dengan pasukan secara spesifik.
"Kami sentiasa merancang dan berfikir mengenai empat tempat di MotoGP ini. Dari sudut kontrak, tiada sebarang sebab untuk mengubah apa-apapun.
"Langsung tidak masuk akal untuk berfikir mengenai perubahan seperti itu ketika musim sedang berlangsung," kata Beirer.
Acosta, 19 tahun menjadi pelumba ketiga termuda menaiki podium di MotoGP pada aksi di Portimao. Di GP Amerika Syarikat, pelumba kelahiran Sepanyol itu berjaya memimpin perlumbaan pada satu ketika sebelum menamatkan aksi sebagai naib juara.
Keputusan itu menyaksikan juara dunia Moto2 tahun lalu itu menjadi pelumba terbaik KTM bagi aksi di Portimao dan COTA mengatasi pelumba pasukan utama Brad Binder dan Miller.