KTM Yakin Mampu 'Gembirakan' Pedro Acosta

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/25/20251 min read

BOS KTM Motorsports, Pit Beirer tampak tidak begitu terkesan dengan khabar angin yang mendakwa pelumba bintangnya di MotoGP, Pedro Acosta sedang dikaitkan dengan pengeluar lain.

Pengeluar motosikal gergasi Austria itu mengharungi musim sejuk yang sukar apabila dipalit kemelut membabitkan kewangan namun keadaan nampak semakin stabil ketika ini.

Tetapi selepas dua pusingan, jangkaan yang diletakkan kepada mereka tidak menjadi kenyataan apabila KTM ketika ini menghuni tangga ke-4 carta kedudukan pengeluar dengan pelumba terbaiknya, Brad Binder hanya mengisi kedudukan ke-7 pelumba dan ketinggalan 55 mata berbanding pendahulu, Marc Marquez.

Prestasi kurang memberangsangkan KTM RC16 itu pantas mencetus spekulasi yang Acosta mungkin meninggalkan pasukan itu pada hujung tahun ini namun ia pantas dinafikan pengurusnya, Albert Valera.

Dan dalam temuramah bersama Speedweek, Beirer akur yang KTM mengharungi permulaan kurang baik pada musim 2025 tetapi 'amat yakin' mereka berupaya untuk menggembirakan Acosta.

"Kami amat bersyukur kepada Valera atas ketenangannya mengharungi bulan-bulan yang sukar ini bersama kami," kata Beirer. "Tiada sebarang keraguan yang kami perlu memberikan Pedro lebih daripada apa yang dia ada ketika ini.

"Seperti saya katakan, 'bola' ketika ini berada di pihak kami. Apapun, saya amat yakin. Kami sudah tiba ke titik ini bersama, dan kini kami melakukan segala yang kami mampu untuk mencapai matlamat kami."

Beirer dalam pada itu mengakui pasukannya melakukan kemajuan pada musim ini tetapi malangnya ia tidak mencukupi.

"Sudah tentu, kami jauh daripada berpuas hati dengan bagaimana ia bermula," kata Beirer. "Keputusan menjadi bukti. Dan ia berlaku sekalipun kami jelas dapat melakukan kemajuan.

"Dari sudut perspektif kelajuan, kami adalah pasukan kedua paling laju sepusingan di Argentina. Keputusan pada Kelayakan 2 (Q2) juga membuktikannya, kelajuan itu ada tetapi kami tidak mampu untuk mengekalkannya sepanjang masa.

"Kami sudah pun bekerja keras untuk mencari jalan penyelesaian. Dalam usaha untuk mendapatkan kemajuan yang pantas, kami menghantar pasukan ujian ke litar di Jerez pada minggu lalu untuk ujian yang tidak dirancang.

"Malangnya, ia dibatalkan kerana litar tidak bersedia untuk digunakan selepas banjir. Apapun, kami sedar yang ia bergantung kepada kami, dan kerana itu kami perlu bekerja lebih keras."