KTNS Malaysia Buat Kemunculan Semula, Pertaruh KTNS TT Classic 150 (2026), RM 6,888!
Meskipun hadir dengan penampilan cukup garang, KTNS TT Classic 150 menurut KTNS Malaysia masih praktikal sebagai motosikal serba guna yang sesuai untuk kegunaan harian di bandar serta tunggangan santai di laluan lasak ringan
PELANCARAN
3/15/20261 min read


JENAMA yang pernah memeriahkan pasaran motosikal tempatan, KTNS membuat kemunculan semula di pasaran Malaysia bersama penawaran terbaharu yang tampil dengan gaya scrambler klasik retro menarik, KTNS TT Classic 150 (2026).
Tiba pada harga RM 6,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), KTNS TT Classic 150 hadir dalam tiga pilihan warna iaitu:
Dark Gold
Matt Black
Matt Grey
Dengan penampilan cukup garang, KTNS TT Classic 150 dikatakan KTNS Malaysia masih praktikal sebagai motosikal serba guna yang sesuai untuk kegunaan harian di bandar serta tunggangan santai di laluan lasak ringan.
Di bahagian trenkuasa, KTNS TT Classic 150 dikuasakan enjin 150 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa berada pada angka 7.8 kW pada 7,500 rpm dan tork 11.5 Nm pada 5,500 rpm.
Turut dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 11 liter, suspensi KTNS TT Classic 150 dijana fork teleskopik dengan jarak travel cukup tinggi (depan) dan penyerap hentak tunggal boleh laras di bahagian (belakang).
Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal dengan angkup dua piston (depan) dan cakera tunggal dengan angkup satu piston (belakang).
Sebagai motosikal dengan kemampuan lasak, padanan set roda KTNS TT Classic 150 adalah 110/90-18 (depan) 120/90-17 (belakang) dan dipadankan dengan rim jejari aloi bersama tayar dwi-guna.
Dari segi dimensi, KTNS TT Classic 150 mempunyai ukuran 2,180 mm panjang, 918 mm lebar dan 1,160 mm tinggi, jarak roda 1,400 mm, ketinggian pelana 840 mm dan jarak lega bumi 300 mm.
Ciri-ciri menarik dan info:
Pelana anti-gelincir
Ekzos gaya scrambler
Bar pelindung enjin
Pelindung tangki
Ruang simpanan depan
Panel meter LCD berwarna
Kunci mekanikal
Lampu LED penuh termasuk DRL
Berat 130 kg
Seperti pembelian motosikal di bawah pihak MForce Bike, KTNS TT Classic 150 juga boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

















