KUALA LUMPUR Anjur Acara Perasmian MotoGP Musim 2026?
Ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur dikatakan memiliki pelbagai kelebihan antaranya dari sudut logistik dan kepakaran tempatan selain hubungan erat dengan MotoGP
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/14/20251 min read


BANDARAYA metropolitan Kuala Lumpur menjadi calon utama untuk menganjurkan acara perasmian musim MotoGP 2026, acara yang pertama kali diperkenalkan di Bangkok, Thailand pada musim ini.
Menurut laporan Motorsport.com, pihak promoter perlumbaan MotoGP, Dorna masih belum membuat keputusan muktamad mengenainya namun difahamkan Kuala Lumpur menerima sokongan daripada ramai pihak.
Pilihan seterusnya adalah Melbourne, Australia tetapi disebabkan pelbagai faktor, ia menjadikan situasi itu lebih rumit.
Kuala Lumpur dikatakan memiliki kelebihan dari sudut logistik dan kepakaran tempatan dengan bandaraya berkenaan sering menjadi destinasi pelancaran pasukan serta memiliki hubungan baik dengan MotoGP.
Pada tahun ini, Yamaha melancarkan pasukan dan projek baharunya - termasuk pasukan 'kilang' MOnster Yamaha, Pramac Yamaha serta pasukan di Moto2 di Kuala Lumpur.
Setakat ini, tarikh rasmi untuk majlis pelancaran itu masih belum ditetapkan, termasuk jadual bagi ujian pra-musim dan difahamkan kesemua pasukan akan bermesyuarat di Spielberg, Australia pada hari ini untuk membincangkan program ujian musim sejuk.
Sekalipun berdepan jadual padat, masih ada ruang untuk perubahan dalam jadual boleh dilakukan dengan Sepang dijangka kekal sebagai destinasi pembukaan ujian musim sejuk pada awal Februari dan juga ujian Shakedown.
Ujian kedua dijadual berlangsung beberapa hari kemudian di Buriram, yang turut menjadi destinasi pusingan pertama kempen MotoGP 2026.
Begitupun, ia masih bergantung kepada keadaan situasi di kawasan berkenaan, berikutan ketegangan di sempadan berikutan konflik perang antara Thailand dan Kemboja.
Selain itu, konflik berbeza di antara penduduk Buriram dan kerajaan Thailand turut mencetuskan beberapa protes yang berpunca daripada daripada pembatalan 995 geran tanah milik penduduk tempatan yang meliputi kawasan seluas lebih 8 juta meter persegi, termasuk kawasan Litar Antarabangsa Buriram yang menjadi lokasi perlumbaan GP Thailand.
