KURANG Tuah Jadi Punca - Enea Bastianini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/4/20241 min read

PEMENANG Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) British 2024, Enea Bastianini mendedahkan tidak melakukan banyak perubahan terhadap pelarasan jenteranya bagi mengharungi separuh musim kedua MotoGP bermula di Silverstone.

Sekalipun mengakui perlu memperbaiki prestasi kelayakan ketika sidang media pada Khamis, pelumba pasukan Ducati Lenovo itu tampil dengan prestasi baik pada sesi berkenaan untuk memulakan perlumbaan di petak ketiga.

Bersaing sengit dengan Jorge Martin ketika perlumbaan, pelumba kelahiran Itali itu akhirnya berjaya memimpin saingan dan tidak mampu dipintas untuk melakar kemenangan pertama kariernya dalam Perlumbaan Sprint.

Mengulas mengenai prestasinya di Silverstone, Bastianini yang diberi julukan 'The Beast' mengakuinya antara faktor dia kurang menyerlah pada sembilan pusingan sebelum ini adalah disebabkan tuah.

"Saya tidak tahu apa yang saya ubah, saya kekal dengan perkara yang sama (pelarasan), dan impak dengan jentera pada Jumaat cukup-cukup bagus," kata Bastianini.

"Saya sentiasa berada di atas dengan tayar yang sudah digunakan dan tayar baharu ketika latihan, jadi saya memahami peluang untuk berada di atas untuk kelayakan.

"Saya fikir mungkin kami tidak bertuah pada separuh musim kejuaraan ini. Saya banyak kali terperangkap dengan bendera kuning, kemalangan dan ia tidak pernah mudah untuk saya merapatkan jurang dengan pelumba lain dalam perlumbaan.

"Hari ini (semalam) ia lebih mudah dan saya kurang menderita, berbanding kebiasaan."

Lebih menarik, Bastianini jelas tidak memerlukan tuah untuk meraih kemenangan dengan kemalangan yang membabitkan rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia dan Marc Marquez berlaku di belakangnya.

"Ia perlumbaan yang sukar kerana Jorge memberi banyak tekanan pada pusingan awal dan ia tidak mudah," kata Bastianini. "Tapi, pada akhirnya saya melihat sesuatu yang berbeza untuk saya pada garisan dan mengubah pendekatan saya pada sektor ketiga. Ia bagus!

"Saya mampu menyerang di lokasi membrek dan saya berjaya untuk mencipta sedikit di antara saya dengannya (Martin) pada pusingan terakhir... Saya berpuas hati.

"Ya, saya memberi tekanan seperti orang gila dan saya fikir Martin juga melakukan perkara yang sama."