KYMCO AK550 Premium (2024) Rasmi Di Malaysia, Spesifikasi Tertinggi, Unit CBU, RM 65.6k!

PELANCARAN

1/12/20242 min read

SEPERTI jangkaan, Edaran Modenas Sdn Bhd (Emos), hari ini merasmikan pencabar baharu dalam segmen skuter maxi aras tinggi, Kymco AK550 Premium (2024) di pasaran tempatan.

Seperti namanya yang memiliki perkataan 'Premium', Kymco AK550 Premium (2024) yang diperkenalkan adalah varian tertinggi model berkenaan di pasaran dan tiba dengan status CBU (Import penuh).

Dan sebagai unit CBU, ia tidak menggunakan lencana atau nama Modenas yang sekaligus menyaksikan kehadiran semula jenama Kymco ke pasaran Malaysia.

Berikutan itu juga, harga yang diumumkan oleh Emos sebagai pengedar dan pengimport rasmi kepada Kymco AK550 Premium (2024) boleh disifatkan turut premium iaitu RM 65,600 (asas).

Angka yang diumumkan seperti biasa tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Dari sudut rekaan, Kymco AK550 Premium (2024) tampil setaraf dengan kaliber yang dimilikinya iaitu 'Sporty' + premium dan memang nampak 'mahal'.

Memacu skuter ini adalah enjin bersesaran 550.4 cc, 2 Silinder Sebaris, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 50.9 Hp pada 7,500 rpm dan tork 52 Nm pada 6,000 rpm.

Sebagai skuter yang diposisi dalam segmen premium, Kymco AK550 Premium (2024) tampil dengan pelbagai teknologi menarik dan moden seperti berikut:

  • Dua mod tunggangan: Full Power, Rain

  • 'Advanced Intelligent Braking System' (AIBS)

  • Sistem Pemantauan Tekanan Angin (TPMS)

  • Sistem Kawalan Traksi

  • Sistem Kunci Pintar

  • Kawalan Jelajah

  • Visor angin dengan ciri boleh laras elektrik

  • Panel meter TFT digital penuh lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit menerusi aplikasi Noodoe.

Di bahagian suspensi, Kymco AK550 Premium (2024) dipadankan dengan fork jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal dengan ciri pelarasan (belakang).

Sistem brek menggunakan brek cakera kembar bersaiz 270 mm dengan kaliper Brembo 4 Piston (depan) dan cakera tunggal 260 mm dengan kaliper 2 Piston (belakang).

Sebagai sebuah skuter, ia turut memiliki storan bawah pelana yang boleh memuatkan sebuah helmet 'Full face' dan sebuah helmet 'Open face'.

Apa yang menarik lagi adalah Kymco AK550 Premium (2024) memiliki ketinggian pelana yang 'mesra' penunggang yang tidak begitu tinggi dengan ketinggian 785 mm.

Informasi penting lain adalah seperti set roda 120/70-15 (depan) dan 160/60-15 (belakang), kapasiti tangki bahan api 14.5 liter, sistem lampu LED penuh termasuk lampu DRL dan berat 238 kg.

Emos dalam pada itu berkata skuter berkenaan dijadualkan tiba di bilik pameran Modenas seluruh negara pada bulan depan.

Seperti biasa, tawaran jaminan pengeluar tersedia adalah selama dua tahun atau 20,000 km perbatuan (yang mana tiba dahulu).