KYMCO AK550 Premium Turun Harga, CKD Di Gurun, Kini RM 55,888!

Ketika pelancaran KYMCO AK550 Premium pada penghujung 2024, harga yang diumumkan oleh Emos sebagai pengedar dan pengimport rasmi kepada jenama Kymco di Malaysia boleh disifatkan turut premium iaitu RM 65,600 (asas)

TERKINI

12/10/20251 min read

EMOS selaku pengedar eksklusif dan rasmi jenama KYMCO di pasaran Malaysia mengumumkan harga runcit baharu bagi model aras tingginya, KYMCO AK550 Premium (2025) iaitu RM 55,888.

Harga berkenaan menyaksikan penurunan mendadak berbanding angka harga yang diumumkan ketika pelancarannya pada penghujung tahun lalu iaitu RM 65,600.

Seperti biasa, harga yang diumumkan itu tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Menurut EMOS, pengumuman menarik membabitkan harga itu dibuat selepas pengesahan yang model berkenaan akan mula dipasang secara Pemasangan Tempatan (CKD) di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah.

Perkembangan itu sekali gus menjadikannya lebih mampu milik untuk penunggang yang mahukan prestasi premium, keselesaan dan teknologi terkini dalam segmen skuter super.

Dan menariknya selain meningkatkan daya saing harga, ciri-ciri premium seperti teknologi dan brek Brembo tidak berubah.

Ketua Pegawai Pemasaran Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS), Hitoshi Inoue pengeluaran CKD di Malaysia membolehkan syarikat itu menawarkan harga lebih baik tanpa menjejaskan kualiti kejuruteraan bertaraf dunia.

"KYMCO AK550 Premium adalah antara skuter maxi paling canggih dalam kelasnya. Dengan CKD di Malaysia, kami dapat memberikan akses lebih luas kepada penunggang tempatan terhadap produk global bernilai tinggi,” katanya.

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Black dan Flat Brown dan boleh didapati segera di semua pengedar sah MODENAS dan KYMCO seluruh negara.