KYMCO DTX250 Diintip Jalani Tunggang Uji, Jaga-Jaga XMax!

TERKINI

12/18/20231 min read

BUKAN rahsia syarikat pengeluar motosikal tempatan, Modenas akan 'menyegarkan' penawarannya dalam segmen skuter maxi dan sekali lagi menjalin kerjasama dengan syarikat Kymco.

Malah, syarikat itu turut sudah pun menjalankan sesi tayangan secara tertutup model-model yang dirancang bakal diperkenalkan kepada beberapa pemilik Modenas Elegan 250 beberapa bulan lalu.

Sekalipun mendapat info yang model berkenaan akan dilancarkan pada tahun depan (2024), ada perkembangan menarik diperoleh baru-baru ini yang dikongsikan di laman sosial Facebook.

Berdasarkan perkongsian bergambar itu, dapat dilihat sebuah model terbaharu yang nampak cukup mirip skuter buatan Kymco, DTX360 sedang menjalani sesi tunggang uji.

Daripada imej yang dikongsikan, model terbaharu itu memiliki perwatakan sebuah skuter maxi dengan saiz kecil sedikit berbanding Modenas Elegan 250 namun lebih eksklusif dan sporty.

Daripada maklumat yang diterima, model berkenaan akan menggantikan Elegan 250 jadi trenkuasa yang dipadankan kepada skuter itu berkemungkinan besar enjin bersesaran 250 cc dan bukannya seperti DTX360.

Berpandukan kepada pasaran global, Kymco sudah pun memadankan model berkenaan dengan enjin bersesaran 250 cc di China dan dipanggil Kymco S250. Skuter berkenaan sudah pun dilancarkan pada tahun lalu.

Untuk bersaing, Kymco S250 seperti skuter moden lain turut datang dengan pelbagai ciri menarik dan moden antaranya sistem lampu LED penuh termasuk DRL, panel meter digital TFT dan memiliki teknologi sistem Kawalan Traksi (TCS) dan Sistem Brek Anti Kunci (ABS).

Berdasarkan sumber terbaharu, Modenas akan melancarkan sebuah skuter terbaharu pada bulan depan namun ia bukanlah model 'DTX'. Sama-sama kita nantikan.