KYMCO X350 (2024) Debut Di China, Jaga-Jaga Honda ADV 350!

TERKINI

6/21/20241 min read

KYMCO, baru-baru ini meningkatkan penawarannya dalam segmen skuter bergaya 'Adventure' dengan melancarkan Kymco X350 (2024) - model yang dikatakan dihasilkan untuk mencabar Honda ADV 350.

Tidak seperti Kymco DTX350 yang ketika ini sudah menerjah pasaran termasuk di Eropah, Kymco X350 (2024) membuat debutnya di China.

Sebagai model yang dikatakan dihasilkan untuk mencabar Honda ADV 350, dapat dilihat dengan jelas dari sudut penggayaan terutama rekaan, Kymco X350 (2024) memang cukup mirip skuter popular jenama Jepun itu.

Dan tiba dengan lencana Kymco - yang sememangnya terkenal dalam segmen skuter - apa yang menarik Kymco X350 (2024) dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik bersama spesifikasi yang dianggap premium.

Mengulas trenkuasa, Kymco X350 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 321 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC bersama transmisi automatik.

Kuasa yang dihasilkan adalah sebesar 28.8 Hp @ 7,500 rpm dan tork 30.5 Nm @ 5,250 rpm.

Sebagai perbandingan, Honda ADV 350 menghamburkan kuasa 28.8 Hp @ 7,500 rpm dan tork 31.5 Nm @ 5,250 rpm.

Selain rekaan yang menarik, Kymco X350 (2024) seperti dikatakan dipadankan dengan pelbagai komponen premium dan dilengkapi ciri-ciri menarik antaranya seperti penggunaan fork jenis terbalik (USD) depan, suspensi berkembar (belakang), brek cakera (depan/belankang), Kawalan Traksi dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Selain itu, ia turut memiliki sistem lampu LED, panel meter TFT bersaiz 7.2 inci lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit, Sistem kunci pintar, port pengecas USB dan Type C, grip terotel dengan ciri pemanas, visor angin boleh laras elektrik serta mungkin paling menarik kamera perakam (dashcam) di bahagian depan dan belakang.

Info lain adalah seperti kapasiti tangki bahan api 14 liter, tinggi pelana 790 mm, set roda 120/70-15 (depan) dan 140/70-14 (belakang) serta berat 190 kg.

Di pasaran Malaysia, umum mengetahui pengedaran produk Kymco diuruskan oleh anak syarikat Modenas, Emos dan bakal ada model terbaharu dikatakan akan memasuki pasaran tempatan. Jadi sama-sama kita nantikan.