LAGI Berkuasa, Yamaha XMAX 300 Tech MAX (2026) Lancar Di Malaysia, RM 28,499!
Membawa 'DNA' siri skuter Max yang ikonik, Yamaha XMAX 300 Tech MAX (2026) yang dilancarkan di Karnival GenBlu 2026 hadir bersama pilihan warna tunggal 'Crystal Graphite' untuk pasaran Malaysia
PELANCARAN
8/8/20261 min read


PENGGEMAR skuter maxi di Malaysia dihidangkan dengan pilihan baharu yang lebih berkuasa oleh Yamaha Motor Malaysia dengan pelancaran Yamaha XMax 300 Tech Max (2026), hari ini.
Membawa 'DNA' siri Max yang ikonik, skuter bergaya eksklusif ini ditawarkan pada harga jualan asas RM 28,499 (tanpa insurans dan pendaftaran) bersama pilihan warna tunggal 'Crystal Graphite'.
Seperti namanya, antara perubahan adalah membabitkan trenkuasa iaitu enjin 'Blue Core' bersesaran 292 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Fi, SOHC yang digandingkan bersama transmisi automatik CVT.
Kuasa berada pada angka 27.6 Hp pada 7,250 rpm dan tork 28.9 Nm pada 5,750 rpm.
Menurut Yamaha Motor Malaysia, trenkuasa baharu ini menjanjikan penyampaian kuasa yang lancar, responsif serta penjimatan bahan api yang efisien sekali gus ideal untuk tunggangan lincah di bandar mahupun pengembaraan.
Tiba sebagai varian mercu, Yamaha XMax 300 Tech Max (2026) disuntik dengan pelbagai ciri premium khusus untuk keselesaan penunggang.
Ia menampilkan tempat duduk ergonomik dengan kemasan gaya kulit dengan posisi tunggangan yang lebih santai dan gaya eksklusifnya ditingkatkan dengan pemijak kaki yang luas bersama plat kaki aluminium premium.
Dari aspek teknologi pintar, Yamaha XMax 300 Tech Max (2026) mengekalkan kelengkapan seperti model Yamaha XMax 250 iaitu paparan meter TFT penuh warna bersaiz 4.2 inci.
Selain itu, ia turut menyokong aplikasi Yamaha Y-Connect dan sistem navigasi Garmin di mana penunggang boleh mengakses peta, menguruskan panggilan telefon, membaca mesej dan mendengar muzik dengan mudah terus dari skrin paparan.
Dari aspek keselamatan, skuter ini didatangkan secara standard dengan Sistem Kawalan Traksi (TCS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) serta sistem kunci pintar (Smart Key).
Menurut Yamaha Motor Malaysia, Yamaha XMax 300 Tech Max (2026) akan boleh didapati di semua rangkaian pengedar Yamaha Big Bikes sah di seluruh negara bermula pertengahan Ogos 2026.





