LAGI Kapcai 'Super Moped' Diintip Jalani Ujian, Adakah WMoto F155?

TERKINITULAR

1/4/20241 min read

SEPERTI dilaporkan sebelum ini, bukan rahsia yang pihak MForce sedang membangunkan sebuah model 'Super Moped' menggunakan jenama WMoto dan perkembangan terbaharu, motosikal berkenaan dilihat menjalani ujian.

Dijadual dilancarkan pada penghujung tahun lalu, begitupun rancangan daripada MForce itu tidak kesampaian memasuki tahun 2024.

Daripada maklumat terdahulu daripada MForce, model yang dibangunkan itu adalah motosikal 'Kapcai' bersesaran 150 cc dan menariknya, lengkap dengan spesifikasi dan ciri-ciri sebagai 'Super moped' sejati.

Lebih menarik, motosikal itu turut dilaporkan akan menyertai saingan perlumbaan Cub Prix tempatan sekiranya berpeluang.

Berdasarkan laporan rakan media Arena Motosikal, motosikal yang imejnya sedang menjalani ujian berjaya ditangkap itu dinamakan sebagai WMoto F155.

Maklumat membabitkan imej tunggang uji diperoleh daripada hantaran Facebook Najwa Syafiqah yang menunjukkan sebuah motosikal dengan rekaan 'Sporty' sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Perak.

Berbalik kepada motosikal 'Super moped' yang menggunakan lencana WMoto itu, informasi daripada MForce mengesahkan model berkenaan dibangunkan di China pada awal tahun 2023 lalu.

Seperti dinyatakan, ia akan dipadankan dengan spesifikasi yang tinggi setaraf model-model di pasaran ketika ini dan lebih menarik, boleh menggunakan pelbagai komponen daripada dua jenama motosikal popular Jepun iaitu Yamaha dan Honda.

Turut menarik adalah daripada sudut rekaan, ia turut mengambil ilham daripada jenama Itali, Ducati terutama di bahagian depan menerusi lakaran prototaip dapat dilihat segelintir rakan media termasuk MotoDotMy.com dan agak sama seperti model yang sedang menjalani ujian.

Dan tambah teruja, jika berpandukan kepada imej berkenaan, pihak MForce memang seperti ingin menunjukkannya kepada umum kerana model yang ditunggang uji tidak sarat dengan pelekat penyamaran.

Antara yang menarik dapat dilihat adalah penggunaan panel meter jenis digital penuh yang besar, sistem lampu LED, brek lengkap ABS (2 Saluran) namun fork depan menggunakan telekopik konvensional bukannya USD.

Setakat ini, pihak MForce masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya tetapi apa yang boleh dijangkakan, motosikal berkenaan akan dilancarkan pada tahun ini. Sama-sama kita tunggu dan lihat.