FRANCESCO Bagnaia mengakui menjalani sesi ujian rasmi MotoGP tanpa status sebagai juara dunia dirasai lebih baik.
Bagnaia dari Ducati Lenovo terlepas gelaran dunia yang dimenangi pada musim 2022 dan 2023 kepada pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin pada perlumbaan terakhir musim 2024 di Barcelona.
Pelumba kelahiran Itali itu pada sesi ujian rasmi pertama MotoGP 2025 melakukan catatan ke-3 terpantas menggunakan jentera baharunya Ducati GP25 di belakang Fabio Quartararo dan Alex Marquez.
"Saya perlu katakan yang melakukan ujian tanpa gelaran juara dunia membuatkan saya lebih fokus kepada jentera," kata Bagnaia kepada Crash.net.
"Jadi, gembira, lebih baik kerana apabila kamu melakukannya ketika kamu adalah juara dunia kamu akan lebih gembira, sudah pasti tetapi saya kurang tumpuan terhadap penambahbaikkan."
Berbanding Bagnaia, Martin yang pertama kali menunggang jentera Aprilia RS-GP24/25 perlu bekerja lebih keras dari sudut penyesuaian diri dan hanya mencatatkan masa ke-11 terpantas.
Malah catatan yang dilakukannya 1.056 saat (s) lebih perlahan berbanding catatan terpantas 1 miniy 38.803s dilakukan Marquez yang menggunakan jentera Ducati GP24.
Berakhir kempen musim ini, Bagnaia mengumpul keseluruhan 498 mata dan hanya dipisahkan 10 mata berbanding Martin.
Sekalipun memperoleh 11 kemenangan dalam perlumbaan utama dan 7 dalam Perlumbaan Sprint berbanding 3 kemenangan perlumbaan utama dan 7 Perlumbaan Sprint yang dimenangi Martin, tahap konsisten pelumba Sepanyol itu menyaksikannya bergelar juara dunia.