LAGU Negaraku Bergema Di Portugal, Qabil Irfan Kembali Bergelar Juara!

Qabil Irfan melepasi garisan penamat dengan penuh bergaya, meninggalkan pencabar terdekatnya, Enzo Zaragoza dari Sepanyol dengan kelebihan jurang masa yang cukup besar iaitu 14.176 saat

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/13/20251 min read

QABIL Irfan Azlan kembali memperoleh rentak kemenangan selepas menjuarai Perlumbaan 1 ESBK Talent pada Pusingan Keenam Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 di Litar Estoril, Portugal dengan persembahan cukup dominan, hari ini.

Apa yang menarik, pelumba kelahiran Terengganu itu melepasi garisan penamat dengan penuh bergaya, meninggalkan pencabar terdekatnya, Enzo Zaragoza dari Sepanyol dengan kelebihan jurang masa yang cukup besar iaitu 14.176 saat.

Tidak seperti beberapa perlumbaan sebelum ini, Qabil yang berlumba bersama pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly bertindak mengawal perlumbaan dari awal hingga akhir tanpa digugat pencabarnya yang lain.

Zaragoza yang mewakili Aspar KSB Technical Academy terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Andres Garcia yang beraksi bersama pasukan IGAXTEAM Snipers, melengkapkan kedudukan podium.

Kemenangan menyaksikan pelumba berusia 13 tahun itu kembali bergelar juara selepas tiga perlumbaan dan terus mengukuhkan lagi kedudukannya selaku pendahulu carta kejuaraan.

Selepas kemenangan di Estoril, Qabil ketika ini selesa mendahului dengan kelebihan 44 mata di hadapan pencabar utamanya dari Switzerland, Arnold Alessio yang menamatkan sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-4.

Lebih mengujakan, jika dia boleh meningkatkan jurang mata itu kepada lebih 50 mata selesai Perlumbaan 2 esok, gelaran juara akan sah menjadi miliknya sebelum saingan ESBK Talent melabuhkan tirainya di Jerez, Sepanyol pada November depan.