LAGU Negaraku Berkumandang Di Aragon, Hadiah Kemerdekaan Malaysia Ke-67 Dari Hakim Danish

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/1/20241 min read

HAKIM Danish Ramli memastikan Lagu Negaraku berkumandang di Aragon, Sepanyol selepas menjuarai Perlumbaan 2 Pusingan 6 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 yang berlangsung dalam keadaan 'litar basah', hari ini.

Lebih menarik, kejayaan yang diperoleh Hakim Danish itu turut didedikasikan kepada rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-67, semalam.

Memulakan perlumbaan di petak ke-5, pelumba kelahiran Terengganu itu jelas memanfaatkan sepenuhnya kepakaran beraksi dalam keadaan litar basah untuk menamatkan perlumbaan lebih 6 saat di depan pencabar terdekatnya, Brian Uriarte.

Malah, pelumba berusia 17 tahun itu mengorak langkah seawal mungkin untuk berada di depan dan tidak lagi menoleh ke belakang selepas itu.

Dan Uriarte yang mengakui tidak mahu mengambil risiko dengan mengikuti Hakim Danish terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala pelumba Finland, Rico Salmela melengkapkan kedudukan podium.

Bagi Hakim Danish, kejayaan di Aragon adalah kemenangan pertamanya dalam kempen RBMRC yang disertainya sejak musim lalu.

Selain itu, kemenangan jelas memberikan pelumba itu pemangkin semangat selepas berdepan beberapa siri situasi yang tidak begitu menyenangkan dalam beberapa pusingan sebelum ini termasuk pada Perlumbaan 1, semalam.

Mengutip 25 mata penuh di Aragon, Hakim Danish turut menyaksikan kedudukan dalam carta kedudukan pelumba meningkat satu anak tangga di kedudukan ke-6 selepas mengumpul keseluruhan 114 mata.

Pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe yang terjatuh dan tidak menamatkan perlumbaan dalam kelompok pungutan mata pada Perlumbaan 2 kekal sebagai pendahulu dengan 202 mata.