LAKAR Peningkatan, GP Malaysia 2023 Catat Lebih 180k Kehadiran Penonton Di SIC

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/14/20231 min read

TEPAT seperti jangkaan, berlaku peningkatan jumlah kehadiran penonton ke Litar Antarabangsa Sepang Petronas (Petronas SIC) bagi menyaksikan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia 2023 berbanding tahun lalu.

Secara keseluruhan iaitu sepanjang tiga hari GP Malaysia 2023 berlangsung, seramai 182,912 kehadiran penonton direkodkan.

Berdasarkan angka, ia adalah peningkatan hampir 20,000 penonton selepas seramai 163,567 kehadiran penonton direkodkan pada edisi 2022.

Pada Jumaat, kehadiran yang direkodkan adalah 21,364 penonton manakala angka 70,911 diperoleh pada Sabtu dengan 90,637 kehadiran diterima Petronas SIC pada hari penutup, Ahad.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman menyatakan jumlah kehadiran penonton yang direkodkan membuktikan sukan permotoran dua roda terus popular di negara ini.

Katanya sekalipun jadual perlumbaan 'bertindih' dengan perayaan Deepavali dan cuti panjang, trend kehadiran ke SIC bagi menyaksikan perlumbaan utama terus positif.

Seperti dijangka, edisi di Malaysia yang juga pusingan ke-18 kejuaraan berkenaan disajikan dengan pelbagai 'aksi' menarik antaranya pemburuan gelaran juara dunia Moto2 2023 dinoktahkan yang menjadi milik pelumba Red Bull KTM Ajo, Pedro Acosta.

Dalam perlumbaan MotoGP, kemenangan Perlumbaan Sprint pada Sabtu (pertama kali dianjurkan) menjadi milik pelumba satelit Ducati, Alex Marquez dari Gresini manakala perlumbaan utama dimenangi perlumba 'Factory' Ducati, Enea Bastianini.

Ia adalah kemenangan pertama Bastianini pada musim ini di MotoGP.

Turut mencipta sejarah adalah aksi di Moto3 di mana juara, Collin Veijer (Liqui Moly Husqvarna Intact GP) meraih kemenangan sulungnya di Moto3 di Sepang.

Begitupun, tiada keputusan 'menarik' daripada 'wakil' Malaysia pada edisi kali ini dengan kesemua pelumba negara, Moto2, Moto3 dan Asia Talent Cup (ATC) tak berjaya menaiki podium.

Sebelum terlupa, perlumbaan ATC turut menyaksikan juara keseluruhan kejuaraan itu dinobatkan di Sepang iaitu pelumba Indonesia, Veda Pratama.