PENANTIAN panjang peminat skuter tempatan yang menantikan kehadiran model skuter suku liter terbaharu keluaran Modenas dan mungkin dikenali DTX250 dijangka berlarutan.
Mengikuti laporan-laporan media sebelum ini, perkembangan mengenai kehadiran model skuter bersesaran 250 cc baharu daripada syarikat pengeluar motosikal nasional itu bukanlah satu rahsia.
Dirancang untuk dibawa masuk ke bahagian produksi kilang pengeluar Modenas di Gurun, Kedah bagi 'menyegarkan' penawarannya dalam segmen skuter maxi, perkhabaran mengenainya sudah diperoleh sejak tahun lepas lagi.
Malah, imej skuter berkenaan sedang melakukan ujian jalan raya turut tertiris dan tular malah pihak Modenas dikatakan sudah pun membuat tayangan eksklusif skuter berkenaan kepada penggunanya yang terpilih.
Dijangka ramai akan memasuki pasaran pada tahun ini, begitupun tiada sebarang petanda yang konkrit ia akan berlaku.
Malah berdasarkan maklumat terbaharu yang diperoleh, model yang sekali lagi dihasilkan menerusi kerjasama dengan syarikat pengeluar skuter terkemuka dunia Kymco sah tidak akan dilancarkan pada tahun ini.
Dan tempoh paling awal kehadirannya dijangka berlaku adalah pada suku pertama tahun hadapan.
Berdasarkan informasi yang diperoleh juga, Modenas tidak bersedia untuk memiliki dua penawaran dalam segmen skuter maxi yang akan bersaing sesama sendiri.
Malah ketika ini, permintaan terhadap Modenas Elegan 250EX dilaporkan masih baik.
Mengulas ringkas mengenai model yang mungkin menggunakan nama Modenas DTX250 atau Kymco DTX250 itu, antara tarikan utamanya adalah rekaan yang sporty, moden dan segar.
Berdasarkan maklumat daripada laman web Kymco di pasaran luar negara, enjin bersesaran 246 cc, 1 Silinder yang dipadankan terhadap DTX250 menghamburkan kuasa setinggi 22.8 Hp pada 7,500 rpm dengan tork 23 Nm pada 6,000 rpm.
Dan sebagai antara model terbaharu, ia turut datang dengan pelbagai ciri-ciri menarik teknologi sistem Kawalan Traksi (TCS), Sistem Brek Anti Kunci (ABS), panel meter digital TFT, sistem lampu LED penuh termasuk DRL, tangki bahan api besar dan pelbagai lagi.
Terbaharu, Modenas dijadual mengadakan satu majlis yang membabitkan pihak media pada minggu depan. Dan diharap akan ada perkembangan mengujakan daripada majlis berkenaan.