LAMA Menunggu, Kawasaki Z650RS (2025) Bakal Tiba Di Malaysia, Guna Lencana Modenas?
TERKINI
2/16/20251 min read


SEJAK membuat debut global beberapa tahun lalu, ramai yang ternanti-nanti bila model yang diposisi dalam segmen retro klasik Kawasaki Z650RS bakal menjengah pasaran tempatan.
Dan menarik, timbul perkembangan menarik yang penantian itu dijangka akan berakhir tidak lama.
Sedar dengan populariti yang dimiliki Kawasaki Z650RS, kami sebelum ini beberapa kali bertanya kepada pihak Modenas mengenai kehadiran model berkenaan dan maklum balas yang diperoleh boleh dikatakan amat positif.
Begitupun, tiada tarikh pelancaran dapat diberikan berikutan kepadatan 'jadual' pelancaran model-model terbaharu pengeluar itu ketika ini.
Setakat ini, kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah sudah memasang empat model 'saudara' kepada Z650RS iaitu Modenas Ninja 650, Z650, Versys 650 dan Vulcan S yang menggunakan trenkuasa serupa.
Justeru, syarikat itu dilihat sememangnya berupaya untuk memasang satu lagi model dengan sesaran enjin sama sekalipun dilihat cukup 'sibuk' ketika ini.
Pada tahun ini saja, Modenas sudah melancarkan dua model iaitu kapcai terbaharu Modenas Kriss 125 dan Kawasaki Ninja ZX-6R yang turut menjadi model eksport ke China.
Berdasarkan informasi yang diperoleh, pelancarannya model yang boleh dikatakan sebagai 'adik' kepada Kawasaki Z900RS akan berlangsung dalam tempoh terdekat dan seperti 'saudaranya' yang lain, akan menggunakan lencana Modenas.
Mengulas ringkas spesifikasi Kawasaki Z650RS, ia digandingkan dengan enjin bersesaran 649 cc, Parallel Twin yang berupaya menghamburkan kuasa 67 Hp pada 8,000 rpm dan tork 65.7 Nm pada 6,500 rpm.
Begitupun, enjin berkenaan tidak memiliki karakter yang sama seperti model 'adik beradiknya' yang lain dan menerima talaan berbeza sesuai dengan segmennya.












