LAMBRETTA J200, X250GP Speedster Curi Tumpuan Di AoS 2026
Mengambil inspirasi daripada siri legenda Lambretta J pada era 1960-an (seperti J50, J100, dan J125), Lambretta J200 mengekalkan DNA klasik Lambretta menerusi profil 'Rendah dan Panjang', bersama badan monokok keluli penuh serta lampu hadapan heksagon yang menjadi identitinya
TERKINI
8/1/20261 min read


LAMBRETTA Malaysia menghangatkan pentas Art of Speed (AoS) 2026 dengan pendedahan eksklusif 2 model serba baharu yang dinanti-nantikan peminat jenama skuter ikonik Itali itu, Lambretta J200 dan X250GP Speedster untuk pasaran tempatan.
Mengambil inspirasi daripada siri legenda Lambretta J pada era 1960-an (seperti J50, J100, dan J125), Lambretta J200 mengekalkan DNA klasik Lambretta menerusi profil 'Rendah dan Panjang', bersama badan monokok keluli penuh serta lampu hadapan heksagon yang menjadi identitinya.
Sarat dengan estetika vintaj, skuter yang diposisi dalam segmen urban premium ini padat dengan teknologi moden termasuk sistem pencahayaan LED penuh dan paparan digital TFT serta sambungan ke telefon pintar.
Dari aspek prestasi, Lambretta J200 dikuasakan enjin 174.5 cc, Penyejuk Cecair, yang mampu menghasilkan kuasa 17 Hp.
Dengan ketinggian pelana 790 milimeter (mm) dan sistem ampaian depan Double Arm-Link, ia menjanjikan pengendalian tangkas serta keselesaan tunggangan gaya hidup urban.
Selain Lambretta J200, turut memukau pengunjung AoS adalah Lambretta X250GP Speedster yang mendapat kemas kini terbaharu.
Tampil dengan perwatakan lebih agresif, Lambretta X250GP Speedster tampuil dengan grafik sporty yang menggabungkan jalur warisan warisan klasik Lambretta bersama motif nyalaan api, diinspirasikan daripada jentera lumba Grand Prix.
Ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna:
Aurora Grey Matte
Super Black
Latte Brown
Kepada yang berminat, Lambretta Malaysia berkata tempahan untuk model-model yang ditayangkan sudah pun dibuka di cawangan pengedar sahnya.



