LAMBRETTA Malaysia Umum Harga Lambretta X250, G350 (2024), Bermula RM 22.8k

TERKINI

6/23/20241 min read

LAMBRETTA, syarikat pengeluar skuter klasik membuat pengumuman kehadiran semulanya beberapa bulan lalu dan dua model yang diuar-uarkan bakal tiba - Lambretta X250 dan G350 (2024) sudah diberikan tanda harga.

Untuk Lambretta X250 (2024), harga jualan yang diumumkan adalah RM 22,800 (asas) dan tiba dalam empat pilihan warna iaitu Silver, Green, White, Black

Manakala Lambretta G350 (2024), harga jualan asasnya adalah RM 29,800 dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Red, White dan Black.

Seperti biasa, harga yang diumumkan itu tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Apa yang menarik, kedua-dua Lambretta X250 dan G350 (2024) adalah unit CKD (pemasangan tempatan), berdasarkan informasi Mekanika.com yang diuruskan oleh syarikat Mofaz Motosikal Sdn Bhd (MOMOS).

Dari sudut rekaan, kedua-dua rekaan Lambretta X250 dan G350 (2024) masih mengekalkan DNA skuter klasik asal Itali yang sememangnya elegan dan mampu menarik perhatian.

Mengulas ringkas trenkuasa, Lambretta X250 (2024) dijana enjin 250 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan transmisi automatik.

Kuasa yang dihamburkan adalah 24.8 Hp pada 8,250 rpm dan tork 24.5 Nm pada 6,250 rpm.

Info penting lain untuk Lambretta X250 (2024) adalah seperti brek cakera (depan/belakang) lengkap ABS, tangki bahan api 7 liter, sistem suspensi 'double-pulled arm link' (depan/belakang), kunci pintar, lampu LED dan panel meter gabungan analog digital LCD.

Untuk Lambretta G350 (2024) yang juga model aras tinggi jenama itu, ia dikuasakan enjin 330 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan transmisi automatik.

Kuasa yang dihamburkan adalah 25.8 Hp pada 7,500 rpm dan torkl 25.5 Nm pada 6,250 rpm.

Info penting lain untuk Lambretta G350 (2024) adalah seperti brek cakera (depan/belakang) lengkap ABS, tangki bahan api 9.5 liter, sistem suspensi 'double-pulled arm link' (depan/belakang), lampu LED dan panel meter TFT berwarna.

Menurut Lambretta Malaysia, kedua-dua model yang ditawarkan sudah boleh didapati di semua rangkaian pengedar rasmi jenama itu di seluruh negara.

Info atau maklumat lanjut mengenai Lambretta Malaysia boleh didapati di pautan ini https://www.facebook.com/LambrettaMalaysia