LAMBRETTA Umum Kepulangan Ke Malaysia, Bakal Lancar G350, X250

TERKINI

5/4/20241 min read

SELEPAS agak lama menyepi, syarikat pengeluar skuter ikonik Itali Lambretta secra rasmi mengumumkan kepulangannya di pasaran Malaysia.

Selari dengan pengumuman itu, Lambretta Scooters Malaysia turut mengesahkan kehadiran dua model Lambretta X250 dan G350 yang bakal memeriahkan pasaran tempatan tak lama lagi.

Selain itu, syarikat itu turut menyenaraikan lima cawangan pengedar rasminya yang terletak di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak.

Berpangkalan di Milan, Itali, Lambretta sememangnya dikenali sebagai pencabar utama kepada satu lagi jenama skuter terkemuka Vespa dan ditubuhkan pada 1947.

Melihat kepada katalog Lambretta ketika ini, Lambretta G350 dipadankan dengan enjin bersesaran 330 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair yang menghasilkan kuasa 27 Hp dan tork 27 Nm.

Manakala untuk Lambretta X250, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 275 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair yang didakwa menghasilkan kuasa sekitar 25 Hp dan tork 27 Nm.

Dan kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik CVT.

Sekalipun tampil dengan penampilan retro klasik, kedua-dua model turut dipadankan dengan ciri-ciri moden antaranya Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), panel meter digital penuh (G350) dan gabungan analog-digital (X250), pengecas USB dan Sistem Kunci Pintar.