LCR Honda Perkenal Liveri Baharu 2026
LCR Honda tampil dengan dua wajah baharu bagi kempen MotoGP 2026 menerusi gandingan pelumba berpengalaman Johann Zarco yang akan bekerjasama dengan 'rookie' Diogo Moreira
TERKINI
2/1/20261 min read


PASUKAN satelit LCR Honda tampil dengan dua wajah baharu menjelang musim baharu MotoGP 2026 apabila Johann Zarco dan 'rookie' Diogo Moreira mendedahkan jentera masing-masing yang tampil dengan sedikit perbezaan, hari ini.
Zarco, yang memasuki tahun ketiga bersama Honda dan Castrol, memperlihatkan rekaan terkini liveri jenteranya dengan skema berwarna merah, putih dan hijau — warna tradisi Castrol — dengan tambahan sentuhan hitam dan biru.
Pelumba Perancis berusia 35 tahun itu, yang musim lalu mencipta sensasi apabila meraih kemenangan di Grand Prix Perancis, menegaskan sasaran utamanya tahun ini adalah menambah koleksi kemenangan.
Moreira, juara Moto2 2025 dari Brazil, memperkenalkan liveri ‘Pro Honda’ selepas penaja IDEMITSU berundur.
Warna baharu itu akan menghiasi jentera RC213V miliknya sepanjang musim, sekali gus menandakan kerjasama rasmi dengan jenama pelincir rasmi Honda.
Moreira, yang menamatkan Ujian Shakedown di Sepang dengan catatan keenam terpantas, akan membuat kemunculan rasmi dengan liveri penuh pada ujian rasmi di Sepang dari 3 hingga 5 Februari ini.

