LEBAM Pada Rusuk Paling Mengganggu - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/6/20241 min read

PELUMBA Gresini Ducati, Marc Marquez mencipta kebimbangan kepada peminatnya apabila mengalami kemalangan ngeri ketika sesi latihan bebas GP Jerman 2024 di Sachsenring, semalam.

Susulan kemalangan di selekoh 11 pada kelajuan 190 km/j itu, juara 11 kali di Sachsenring itu didapati mengalami kecederaan retak tulang jari selain lebam yang teruk di bahagian rusuk.

Kemalangan itu pada awalnya seperti tidak mengganggu Marquez untuk meneruskan sesi berkenaan sebelum pelumba kelahiran Sepanyol itu 'keluar' untuk melakukan ujian perubatan.

Dan lebih mengecewakan, catatan masa terbaiknya tidak dapat meletakkannya untuk berada dalam kedudukan terus ke Kelayakan 2 yang dijadual, hari ini.

Ketika keluar daripada pusat perubatan, Marquez mengakui mengalami kesakitan dan mengulas lanjut, ia turut memberikan impak terutama kecederaan di bahagian rusuk.

"Perasaan dengan jentera baik, tetapi jelas kemalangan pada petang memberikan impak yang besar pada hari pertama di sini di Sachsenring," kata Marquez memetik laporan Crash.net.

"Saya tidak bimbang dengan kecederaan retak pada jari, tetapi lebam di bahagian rusuk jelas menjadi sesuatu yang paling mengganggu saya dan juga menghalang saya daripada meneruskan sesi."

Selain Marquez, turut mengalami kemalangan pada sesi Jumaat ialah dua pelumba VR46 Ducati, Fabio di Giannantonio dan Marco Bezzecchi, pelumba Ducati Lenovo Enea Bastianini serta pelumba gantian Monster Yamaha, Remy Gardner.

Sementara itu, pelumba Aprilia, Maverick Vinales melakukan catatan terpantas yang turut memecahkan rekod sepusingan di Sachsenring dengan 1 minit 19.622 saat.

Pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin kedua terpantas, ketinggalan 0.340 saat dan pelumba terakhir melakukan catatan bawah 1.19 minit adalah pelumba pasukan satelit Aprilia, Miguel Oliveira (Trackhouse Aprilia).

Adik kepada Marquez, Alex Marquez muncul pelumba terpantas menggunakan jentera Ducati GP23 diikuti pelumba duo Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia, Enea Bastianini.

Rakan sepasukan Martin, Franco Morbidelli ke-7 terpantas diikuti Pedro Acosta (GasGas Tech3), Di Giannantonio dengan pelumba KTM, Brad Binder melengkapkan pelumba yang mendapat 'tiket' terus ke Kelayakan 2.