LEBIH Daripada Jangkaan - Enea Bastianini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/26/20241 min read

ENEA Bastianini menyifatkan kemenangan yang diraih pada Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Thailand 2024 adalah di luar jangkaannya.

Pelumba Ducati Lenovo itu memperoleh permulaan yang baik dengan memimpin perlumbaan seawal pusingan pertama dan mula mencipta jurang selepas pusingan ketiga.

Pelumba kelahiran Itali itu kemudian berjaya menjuarai perlumbaan dengan kelebihan 1.3 saat di depan pemenang tempat kedua, Jorge Martin dan menyifatkan keputusan itu mengejutkannya.

"Perlumbaan hari ini lebih daripada jangkaan saya," kata Bastianini. "Saya memperoleh kelayakan bagus, tetapi selepas menguji kepantasan saya, saya belum bersedia untuk menang.

"Tetapi pada akhirnya, saya tidak tahu. Saya memberikan 100 peratus pada setiap perlumbaan sejak daripada pusingan pertama.

"Mungkin juga, apabila kamu berseorangan di trek, ia boleh menjadi kelebihan, kerana kamu boleh melakukan brek dengan lebih kuat dan juga suhu tayar, kami mengetahuinya."

Bastianini turut merasakan prestasi cemerlangnya adalah berikutan pelarasan baik yang ditemui terhadap jentera Ducati Desmosedici GP24 namun agak bimbang sama ada kelebihan sama dapat diteruskan ketika perlumbaan utama.

"Ketika ini kami menemui sesuatu, mungkin, kerana kelayakan kami sentiasa kompetitif," katanya.

"Tetapi kamu berdepan lebih banyak masalah untuk perlumbaan lebih panjang. Kami perlu menyelesaikan masalah itu pada tiga perlumbaan terakhir," kata Bastianini yang turut mengakui memimpin perlumbaan lebih memudahkan berbanding daripada mengejar.