LEGENDA Kembali, Suzuki Malaysia Lancar Suzuki DR-Z4S, DR-Z4SM, Garang, RM 39,888!
Pengenalan Suzuki DR-Z4S, DR-Z4SM menandakan kembalinya platform motosikal dwi-sukan ikonik daripada Suzuki, yang kini tampil dengan teknologi moden untuk tunggangan lasak (off-road) serta prestasi supermoto jalan raya
PELANCARAN
4/11/20262 min read


SUZUKI Malaysia menamatkan penantian peminat motosikal dengan kemampuan dwi-guna tempatan apabila secara rasmi melancarkan dua model terbaharu yang membawa nama legenda 'DR-Z', iaitu Suzuki DR-Z4S dan DR-Z4SM (2026), hari ini.
Pengenalan dua model serba baharu ini menandakan kembalinya platform motosikal dwi-sukan ikonik daripada Suzuki, yang kini tampil dengan teknologi moden untuk tunggangan lasak (off-road) serta prestasi supermoto jalan raya.
Dan kedua-dua jentera ini ditawarkan pada harga jualan asas RM 39,888 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans).
Begitupun, harga yang diumumkan ketika pelancaran itu adalah terhad kepada 50 unit pembeli pertama sebelum angka itu berubah.
Perincian pilihan warna adalah seperti berikut:
Suzuki DR-Z4S
Champion Yellow
Solid Iron Gray
Suzuki DR-Z4SM
Sky Gray
Solid Special White
Dari sudut mekanikal, kedua-dua model Suzuki DR-Z4S dan DR-Z4SM dikuasakan oleh enjin baharu yang patuh piawaian Euro 5+ bersesaran 398 cc, 1 Silinder, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 5 kelajuan klac manual lengkap Suzuki Clutch Assist System (SCAS).
Menggunakan sistem palam pencucuh berkembar, kuasa yang dihamburkan adalah 37.5 Hp dan tork 37 Nm.
Peningkatan paling ketara untuk Suzuki DR-Z4S dan DR-Z4SM adalah pada sistem elektroniknya yang kini menggunakan sistem 'ride by wire'.
Suzuki turut memuatkan sistem Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang menyaksikan ia kini memiliki mod tunggangan (Suzuki Drive Mode Selector) dengan tiga pilihan mod A, B dan C, serta kawalan cengkaman empat tahap (termasuk mod khusus Gravel untuk off-road).
Selain itu, sistem Brek Anti-Kunci (ABS) pada model ini juga boleh dilaraskan mengikut kesesuaian permukaan jalan dan corak tunggangan.
Meskipun berkongsi DNA yang sama, kedua-dua model ini disasarkan untuk gaya tunggangan yang berbeza menerusi tetapan roda dan geometri.
Model Suzuki DR-Z4S direka khusus untuk eksplorasi dwi-guna. Ia dipadankan dengan rim bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang dengan tayar corak bata dan memberikan kelebihan dari segi kestabilan dan keupayaan melepasi halangan di permukaan tidak rata.
Sementara itu Suzuki DR-Z4SM memfokuskan kepada gaya tunggangan supermoto yang agresif di kawasan bandar dengan ia menggunakan padanan rim bersaiz 17 inci di hadapan dan belakang dengan tayar jenis on-road yangmenjanjikan respons kawalan lebih tangkas serta tahap cengkaman selekoh lebih tajam di jalan berturap.
Sistem suspensi menggunakan fork USD dari KYB dan monoshock di belakang dengan pelarasan ‘compression’ dan ‘rebound’ namun jarak gerak Suzuki DR-Z4S lebih panjang dengan 280 mm depan dan 296 mm belakang dengan batang fork berwarna emas manakala Suzuki DR-Z4SM menawarkan 260 mm (depan) dan 277 mm (belakang) batang fork warna hitam.
Ciri-ciri lain adalah kedua-dua model dipadankan dengan tangkin bahan api 8.7 liter, berat 151 kg (Suzuki DR-Z4S), 154 kg (Suzuki DR-Z4SM), panel meter digital LCD dan sistem lampu LED.













