LETBE Mecha, Ada Peluang Jadi 'Barang Panas' Di Malaysia?
Dari sudut penampilan, Letbe Mecha adalah skuter yang memiliki imej futuristik dengan rekaan bersegi dan pencahayaan LED multi-warna. Ia tampak mirip Letbe Nomad namun dengan sesaran enjin lebih rendah.
TERKINI
9/5/20261 min read


PERSAINGAN dalam segmen skuter bawah 200 cc di pasaran tempatan ketika ini sememangnya cukup padat dengan penawaran daripada pelbagai jenama khususnya dari Jepun dan China dengan perkembangan terbaharu, satu lagi model katanya bakal tiba iaitu Letbe Mecha.
Bakal tiba di bawah edaran MForce Bike, Letbe Mecha menjadi salah satu daripada model yang sedang dipertimbangkan syarikat itu untuk dibawa ke pasaran tempatan.
Dari sudut penampilan, Letbe Mecha adalah skuter yang memiliki imej futuristik dengan rekaan bersegi dan pencahayaan LED multi-warna. Ia tampak mirip Letbe Nomad namun dengan sesaran enjin lebih rendah.
Kepada yang tak tahu, Letbe Mecha berjaya mencuri perhatian di pentas EICMA 2025 dengan penampilan berani yang jauh menyimpang daripada rekaan skuter konvensional.
Panel badannya berbentuk kotak dengan garis tajam, manakala logo 'LETBE' pada sisi dilengkapi pencahayaan LED yang boleh bertukar warna, menjadikannya seakan model konsep masa depan.
Dan rekaan pelik tetapi moden ini menjadi kekuatan utama Letbe Mecha, sekali gus membezakannya daripada pesaing yang lebih konservatif.
Di China, Letbe Mecha ditawarkan dalam tiga varian enjin iaitu 125 cc, 150 cc dan 200 cc dan bagi kami, jika MForce memilih untuk membawa masuk versi 200 cc, ia berpotensi menjadi pencabar lebih serius dalam segmennya.
Dengan kuasa lebih besar, ditambah ciri moden seperti meter TFT berwarna, sistem kunci pintar, brek cakera Nissin dengan ABS dua saluran serta kawalan cengkaman (TCS), Mecha mampu menarik minat pembeli muda yang mahukan gaya unik dan teknologi terkini.
Dengan kekuatan pada rekaan futuristik dan pilihan enjin 200 cc, Letbe Mecha bukan sahaja menambah variasi kepada portfolio MForce, malah berpeluang menjadi pencabar utama dalam segmen skuter kompak.





