LETBE Nomad 350, Rekaan Unik, Pelik, Tapi Mengujakan!

Dengan rekaan bersegi, dan jelas lain daripada yang lain, Letbe Nomad 350 jelas menampilkan identiti yang berbeza daripada skuter Jepun atau Eropah dengan garis badan bersegi dengan panel-panel tajam memberi aura futuristik

TERKINI

9/4/20262 min read

JIKA anda merasakan penawaran dalam segmen skuter maxi yang sedia ada di pasaran sudah 'membosankan', jenama dari China Letbe mungkin mampu menyelesaikan 'masalah' itu menerusi pilihan mereka - Letbe Nomad 350.

Tampil dengan rekaan cukup unik, bersegi, dan jelas lain daripada yang lain, Letbe Nomad 350 jelas menampilkan identiti yang berbeza daripada skuter Jepun atau Eropah dengan garis badan bersegi dengan panel-panel tajam memberi aura futuristik.

Bahagian depan jelas menonjol dengan 'beak' atau muncung yang panjang, menjadikan wajahnya lebih agresif dan sedikit pelik berbanding skuter konvensional malah memberi kesan seolah-olah ia sebuah prototaip konsep, bukan model produksi.

Salah satu kelainan Letbe Nomad 350 adalah ia turut dipadankan panel LED di bahagian depan yang boleh memaparkan grafik atau tulisan (boleh ditukar melalui aplikasi) yang menambah lagi keunikannya, sekali gus menjadikan skuter ini bukan sekadar kenderaan tetapi juga medium ekspresi visual.

Tetapi tidak diketahui sama ada ciri ini dibenarkan di pasaran tempatan tetapi ia jelas menambah keunikan. Selain itu, ia turut memiliki 'crash bar' yang menambahkan darjah kegarangan skuter ini.

Beralih ke bahagian trenkuasa, Letbe Nomad 350 dipadankan dengan enjin 330 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digabungkan bersama transmisi CVT. Kuasa yang dihamburkan 30.3 Hp pada 7,500 rpm dan tork 34 Nm pada 5,500 rpm.

Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan/belakang) dengan kaliper daripada Nissin lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran.

Suspensi pula menggunakan fork jenis terbalik (USD) depan dan penyerap hentak berkembar (belakang) lengkap dengan 'Sub-tank'.

Seperti skuter moden lain, ia turut memiliki pelbagai ciri seperti sistem kawalan cengkaman (TCS), Sistem start/stop, Sistem pemerhati tekanan angin tayar (TPMS), visor angin boleh laras elektrik dan sistem kunci pintar.

Ciri-ciri lain:

  • Set roda 120/70-15 (depan), 140/70-14 (belakang)

  • Soket pengecas USB A, C

  • Kamera depan

  • Tangki bahan api 15.2 liter

  • Berat 187.5 kg

Tetapi jangan terpedaya dengan rekaan yang unik, kualiti tunggangan Letbe Nomad 350 berdasarkan ujian ringkas yang dilakukan oleh kami boleh dikatakan cukup baik setaraf jenama lain di pasaran.

Setakat ini, belum diketahui sama ada Letbe Nomad 350 akan memasuki pasaran tetapi ia antara model yang paling berpotensi untuk dibawa masuk oleh MForce Bike.

Dan berpandukan kepada maklumat yang diperoleh daripada MForce Bike Holdings Sdn Bhd, ia mungkin boleh tiba di tanah air seawal tahun depan.