LEWIS Hamilton, KTM Ada 'Perbincangan Serius'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/28/20241 min read

BOS KTM MotoGP, Pit Beirer mengesahkan perbincangan dengan legenda Formula Satu (F1) Britain, Lewis Hamilton memang wujud.

Malah, Beirer mendakwa pertemuan itu sebagai 'konkrit' mengenai perjanjian dengan KTM.

Pengeluar gergasi Austria, KTM ketika ini sedang mengharungi masalah kewangan yang serius dan ia 'meletup' sejurus kempen MotoGP musim ini berakhir.

Begitupun dengan masalah dan hutang yang didakwa menggunung, malah membabitkan nilai bilion euro, pengeluar itu berkata ia tidak akan mengganggu program sukan permotorannya.

Tetapi syarikat itu mengalu-alukan pelabur berpotensi dan ia termasuk Hamilton.

"Saya hanya boleh katakan yang kami memperoleh perbincangan yang menarik dengan pengurusannya," kata Beirer kepada Speedweek.

"Bukan satu rahsia yang Lewis Hamilton berminat dengan MotoGP dan berfikir untuk mempunyai pasukannya tersendiri. Di sini juga, ada perbincangan yang konkrit."

Hamilton pada musim depan akan berlumba bersama pasukan Ferrari selepas menamatkan kempennya bersama Mercedes.

Sentiasa bersama Monster ketika di Mercedes, perpindahan ke Ferrari turut bermakna Hamilton perlu mengubah penaja minuman bertenaganya kepada Red Bull yang juga penaja utama kepada KTM.