LIN Jarvis Letak Jawatan Prinsipal Yamaha MotoGP Penghujung 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/13/20241 min read

PRINSIPAL Yamaha MotoGP, Lin Jarvis dilaporkan bakal melepaskan jawatannya pada penghujung musim 2024.

Perkembangan berkenaan diperoleh kurang seminggu selepas pelumba bintang pasukan itu, Fabio Quartararo menandatangani kontrak lanjutan bersama pengeluar Jepun itu sehingga 2026.

Jarvis sememangnya cukup sinonim dengan Yamaha dan mengetuai projek MotoGP jenama itu sejak 26 tahun lalu.

Memetik laporan Motorsport.com, Jarvis berkata: "Ini akan menjadi musim terakhir saya di Yamaha, saya akan berhenti pada penghujung tahun ini.

"Saya akan memutuskan apa yang akan saya lakukan selepas ini, apa yang akan saya dedikasikan masa saya.

"Saya mula bersama pasukan 'Factory' pada 1999. Ia adalah masa yang agak panjang. Saya kini berusia 66 tahun dan saya mula merasa sedikit letih kerana banyak berjalan.

"Saya sudah melakukan kerja ini selama 26 tahun, dan ia agak menakjubkan untuk orang yang sama mengetuai sesebuah projek, bersama pasukan 'Factory' untuk tempoh sepanjang ini.

"Masanya sudah tiba untuk melakukan sesuatu yang baharu. Ia masa yang ideal untuk melakukan perubahan ini. Kami perlu menutup babak saya untuk memulakan sesuatu yang baharu dengan harmoni. Ini adalah jalan penyelesaian yang baik untuk kedua-dua pihak."

"Kami sudah pun mengenal pasti calon yang akan menggantikan saya, sekalipun ia belum lagi rasmi."

Jarvis begitupun mengesahkan penggantinya datang daripada Yamaha dan akan memulakan tugas pada Januari 2025.