LITAR Jalanan Adelaide Ganti Phillip Island Anjur GP Australia Mulai 2027

Keputusan untuk menganjurkan GP Australia di Adelaide turut mencatat sejarah baharu dalam kancah MotoGP yang menyaksikan perlumbaan elit dua roda itu buat pertama pertama kali berlangsung di litar jalanan di tengah bandar

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/19/20261 min read

SELEPAS bertahun-tahun 'beraksi' di Phillip Island, Grand Prix (GP) Australia sah akan berpindah lokasi ke Litar Jalan Raya Adelaide bermula musim 2027.

Keputusan itu turut mencatat sejarah baharu dalam kancah MotoGP yang menyaksikan perlumbaan elit dua roda itu buat pertama pertama kali berlangsung di litar jalanan di tengah bandar.

Pengumuman itu dibuat MotoGP Sports Entertainment Group yang dahulu dikenali Dorna Sports bersama Kerajaan Australia Selatan dan Bandaraya Adelaide, dengan perjanjian enam tahun sehingga 2032.

Reka bentuk litar baharu itu didedahkan hari ini dalam satu majlis bersama Ketua Pegawai Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta, dan Premier Australia Selatan, Peter Malinauskas.

Menurut MotoGP, pemilihan Adelaide dibuat kerana bandar itu mempunyai reputasi bertaraf dunia dalam penganjuran acara sukan utama, selain budaya bandar yang sesuai untuk menganjurkan Grand Prix berkonsep festival.

Carlos Ezpeleta menyifatkan langkah membawa MotoGP ke Adelaide sebagai detik penting dalam evolusi kejuaraan.

"Membawa MotoGP ke Adelaide adalah satu pencapaian besar. Bandar ini mempunyai reputasi kelas dunia dalam menganjurkan acara sukan, dan peluang mereka bentuk litar khusus di jalan raya bandar adalah sesuatu yang unik dalam sukan kami,” katanya.

Perpindahan ini menandakan perubahan besar dalam sejarah penganjuran GP Australia, yang selama ini sinonim dengan Phillip Island. Adelaide kini bersedia membuka lembaran baharu dengan perlumbaan jalan raya pertama seumpamanya dalam sejarah MotoGP.

Litar jalanan Adelaide akan mempunyai jarak sepanjang 4.195 km dengan 18 selekoh dan membolehkan pelumba mencapai kelajuan melebihi 340 km/j.

Ia dikatakan menggunakan pelan asas litar Adelaide yang pernah menjadi tuan rumah Formula 1 antara 1985 dan 1995, namun dengan penambahbaikan besar bagi memenuhi standard keselamatan moden.