LITAR Johor Kembali Beroperasi Dalam Tempoh Dua Ke Tiga Tahun

BERITA

4/19/20241 min read

TEKA-teki membabitkan pembangunan semula Litar Johor di Pasir Gudang termasuk bila ia boleh mula digunakan sebagai venue perlumbaan bertaraf antarabangsa akhirnya terjawab.

Berdasarkan kata-kata Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, litar yang pada satu ketika pernah menjadi venue pelbagai perlumbaan antarabangsa itu dijangka akan boleh digunakan selepas fasa pertama pembangunan semulanya selesai iaitu sekitar dua ke tiga tahun lagi.

Aktif dalam arena sukan permotoran empat roda antarabangsa, Tunku Abdul Rahman bekata demikian ditemui sempena Pusingan 1 Fanatec GT World Challenge 2024 hari ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Mengakui pihaknya sedang berusaha keras bagi merealisasikan rancangan itu, Tunku Abdul Rahman berkata perkembangan pembangunan terbaharu litar itu akan dibuat oleh Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim pada bulan depan.

"InsyaAllah Tunku Temenggong akan buat kenyataan rasmi tentang Litar Johor pada bulan depan dan daripada situ kita akan dapat tahu lebih maklumat lagi," kata Tunku Abdul Rahman.

"Saya rasa untuk fasa satu akan siap lebih kurang dua hingga tiga tahun sebab banyak lagi yang perlu ditambah baik kerana kita perlu ingat, litar ini dibina pada tahun 80-an dan pernah menganjurkan MotoGP.

"Jadi kita kena ikut peraturan di bawah FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) dan sebab itu kita tutup litar itu sebab kalau ada apa-apa kemalangan, jika kita mahu anjurkan perlumbaan pada masa depan, FIA tak akan beri (kelulusan)."

Tunku Abdul Rahman turut menjelaskan selepas selesai fasa satu, litar berkenaan akan mula boleh digunakan untuk perlumbaan termasuk antarabangsa dua dan empat roda.

Mengulas mengenai pihak mana yang akan bekerjasama dalam pembangunan semula Litar Johor, Tunku Abdul Rahman menjelaskan ia masih dalam perincian.