LITAR LYL Uji Pelumba Cilik Negara Di Pusingan 4 FIM MiniGP Malaysia
Bagi FIM MiniGP Malaysia, penganjur ZK Racing memilih penggunaan litar penuh yang membabitkan panjang keseluruhan 933 meter dengan 10 selekoh, 4 ke kanan dan 6 ke kiri yang dikatakan menjanjikan cabaran teknikal kepada setiap pelumba
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/7/20251 min read


KEJUARAAN membabitkan barisan pelumba cilik negara, FIM MiniGP Malaysia 2025 kembali bagi Pusingan 4 yang berlangsung di gelanggang yang baharu, Litar Kart Antarabangsa LYL di Sg Long, Selangor pada minggu ini.
Selain kejuaraan FIM MiniGP Malaysia, turut berlangsung adalah Kejuaraan Junior SIC Ohvale dan Kejuaraan RCB MiniMoto.
Menariknya untuk saingan FIM MiniGP Malaysia, penganjur ZK Racing memilih penggunaan litar penuh yang membabitkan panjang keseluruhan 933 meter dengan 10 selekoh, 4 ke kanan dan 6 ke kiri yang dikatakan menjanjikan cabaran teknikal kepada setiap pelumba.
Seperti diketahui, antara keunikan utama litar LYL adalah kerana reka bentuknya yang fleksibel dan boleh diubah suai mengikut keperluan sesuatu acara.
Seperti biasa dalam setiap pusingan, perlumbaan rasmi akan berlangsung pada hari Ahad, manakala sesi latihan tidak rasmi akan diadakan pada hari Sabtu bagi memberi ruang kepada pelumba membuat persediaan rapi menghadapi saingan kompetitif pada hari berikutnya.
Selain perlumbaan, turut dijalankan adalah program Rakan Muda | Motoclinic: Ride, Learn & Discover.
Program ini terbuka kepada orang ramai dan memberi peluang kepada peserta untuk mendalami asas dunia perlumbaan serta teknik tunggangan motosikal yang selamat dan boleh diaplikasikan di jalan raya.
Peserta juga berpeluang menunggang motosikal yang disediakan di dalam Litar Kart Antarabangsa LYL sambil dipantau oleh pelumba profesional.
Macam biasa, masuk adalah percuma dan tempat duduk untuk penonton disediakan bertempat di grandstand utama serta kawasan sekitar litar.
