LITAR Valencia Bukan Keutamaan, Rakyat Sepanyol Lagi Penting - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/31/20241 min read

VALENCIA, Sepanyol yang menjadi destinasi pusingan penutup tirai MotoGP 2024 dilanda bencana alam teruk, baru-baru ini dan antara yang terkesan adalah lokasi perlumbaan itu dijadualkan, Litar Ricardo Tormo.

Susulan banjir buruk berikutan ribut Dana itu, turut dilaporkan adalah membabitkan kehilangan nyawa selain kerosakan harta benda, tanaman, kenderaan, perubahan dan sebagainya.

Dijadual untuk menganjurkan perlumbaan terakhir selepas GP Malaysia, Litar Valencia antara yang mengalami kerosakan disebabkan banjir dan memerlukan pembaikan.

Begitupun bagi juara dunia lapan kali MotoGP, Marc Marquez yang juga berasal dari Sepanyol, keutamaan pihak berkuasa ketika ini bukanlah litar berkenaan, tetapi mangsa yang terbabit.

"Sepanyol, terutama Valencia terkesan dengan teruk disebabkan oleh ribut Dana," kata Marquez memetik laporan antarabangsa.

"Sebagai rakyat Sepanyol, amat sukar untuk melihat imej-imej ini, dan secara teorinya kami akan menghadapi GP di sana.

"Tetapi saya fikir kesemua fasiliti kerajaan Sepanyol, perlu membantu rakyat yang kehilangan kediaman mereka, malah kami mendengar kita sudah kehilangan hampir 100 nyawa menerusi pembacaan saya.

"Kita perlu memahami situasinya dengan baik, tetapi semua bantuan perlu diberikan kepada mereka ini. Saya melihat kerosakan di Litar Valencia tetapi (tak masuk akal) untuk mula memperbaiki kerosakan ini ketika ramai orang tidak mempunyai rumah. Jadi lita lihat apa yang mereka akan lakukan."

Adik kepada Marquez dan juga rakan sepasukannya di Gresini Ducati, Alex Marquez berkata 'sukar' untuk melihat yang perlumbaan akan dianjurkan di Valencia dalam tempoh dua minggu lagi.

"Sekarang bukan masanya saya berfikir adakah akan ada perlumbaan GP di sana atau tidak. Kini segala bantuan perlu dihulurkan kepada mereka yang ada di sana, yang tidak mempunyai rumah, kematian dan kehilangan.

"Ia sukar. Tidak mudah untu rakyat Sepanyol terutama mereka di Valencia."