LIVERI Istimewa Buat Hakim Danish Di GP Malaysia 2026
Apa yang menarik, liveri istimewa di jentera perlumbaan, sut lumba dan helmet Hakim Danish ini sarat dengan elemen yang melambangkan identiti Malaysia antaranya corak garisan ombak, bunga raya dan wau bulan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/29/20261 min read


PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli akan menggunakan liveri istimewa untuk sut lumba, helmet dan jenteranya yang boleh dikatakan cukup unik sempena perlumbaan laman sendiri Grand Prix (GP) Malaysia 2026 minggu ini.
Apa yang menarik, liveri istimewa itu sarat dengan elemen yang melambangkan identiti Malaysia termasuk warisan pelumba berusia 19 tahun itu antaranya corak garisan ombak dan Penyu sebagai simbolik ketahanan serta asal usulnya dari Terengganu.
Ia turut diserikan dengan kehadiran bunga kebangsaan, Bunga Raya dan Wau Bulan yang mewakili cita-cita serta kebanggaan identiti Malaysia.
Penampilan eksklusif jentera ini menandakan pencapaian bersejarah buat Hakim Danish yang kini sedang menggalas cabaran dalam musim penampilan 'rookienya' di pentas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia.
Beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi, Hakim Danish kini menduduki tangga ke-9 carta kejuaraan Moto3 dengan mengumpul 103 mata.
Sebagai info, Hakim Danish yang beraksi menerusi tiket wildcard di GP Malaysia pada tahun lalu tampil dengan prestasi yang baik apabila berjaya melayakkan diri secara automatik ke sesi Kelayakan 2 (Q2) sebelum memulakan perlumbaan dari petak ke-12.
Begitupun, impiannya untuk menamatkan perlumbaan dalam kedudukan terpuji tidak kesampaian apabila jentera yang ditungganginya mengalami masalah teknikal ketika perlumbaan berbaki 5 pusingan.

