'LOGIK Pecco Bagnaia Penunggang 'Pilihan' Ducati Lenovo'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/27/20241 min read

MARC Marquez mengakui adalah logik rakan sepasukannya di Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia dilabel sebagai pelumba 'utama' dalam pasukan itu.

Bagnaia sudah menjadi pelumba pasukan 'kilang' Ducati itu selama empat tahun, memenangi 29 perlumbaan termasuk dua gelaran dunia MotoGP berturut-turut.

Begitupun, pelumba kelahiran Itali itu tewas dalam pertarungan merebut gelaran dunia musim ini kepada Jorge Martin sekalipun berjaya menjuarai 11 daripada 20 perlumbaan yang ditawarkan.

Marquez pula tiba di garaj Ducati Lenovo bersama tiga kemenangan musim lalu dan sekalipun mempunyai enam gelaran dunia MotoGP di poketnya bersama Repsol Honda, ia tidak membuatkannya dilihat sebagai pelumba rujukan di Ducati.

"Kini saya berada dalam situasi yang saya tidak pernah ada pengalaman sebelum ini, iaitu tiba di box pasukan, sekali pun tiada istilah nombor satu dan nombor dua, logiknya ada status dan siapa yang digelar 'pilihan' adalah Pecco," kata Marquez memetik laporan Crash.net.

"Kenapa? Kerana Pecco adalah pelumba yang memberikan dua gelaran dunia kepada Ducati, pelumba yang menang 11 perlumbaan tahun lalu dan logiknya, dia adalah orang yang menjadi pilihan ketika pra-musim dan beberapa perlumbaan utama.

"Dari sudut kami, saya akan cuba bekerja dengan rapat dengannya kerana dia adalah rujukan, pelumba yang menjadikan Ducati juara sekali lagi, dan pelumba yang laju.

"Jika kamu mahu menjadi juara, kamu perlu meraihnya di litar, tetapi saya mempunyai senjata terbaik untuk bersaing merebut gelaran."

Ketika sesi ujian post-musim MotoGP di Barcelona, baru-baru ini, Marquez mencatatkan masa keempat terpantas, hanya 0.056 saat lebih perlahan berbanding Bagnaia menggunakan Ducati GP25.

Catatan terpantas direkodkan adiknya, Alex Marquez diikuti pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo dan Bagnaia dengan ujian seterusnya berlangsung di Sepang pada Februari depan.