LS2 Sahkan Sedang Bangunkan Sut Lumba
Seperti diketahui, LS2 masih belum menawarkan sebarang model sut lumba buat masa ini dengan perkembangan itu disahkan ketika sesi media sempena acara 'LS2 Asia & Oceania International Convention' yang berlangsung di Malaysia
TERKINI
7/26/20261 min read


JENAMA kelengkapan menunggang terkemuka asal China, LS2 bersedia melebarkan sayap perniagaannya dengan meneroka pasaran pakaian berkaitan perlumbaan, khususnya penghasilan sut lumba penuh (racing suit).
Seperti diketahui, LS2 masih belum menawarkan sebarang model sut lumba buat masa ini dengan perkembangan itu disahkan ketika sesi media sempena acara 'LS2 Asia & Oceania International Convention' yang berlangsung di Malaysia, baru-baru ini.
Dalam acara sama yang turut memperlihatkan beberapa produk terbaharu termasuk but menunggang, wakil LS2 mengesahkan pembangunan sut perlumbaan mereka sedang giat dijalankan dan dijangka membuat kemunculan rasmi di pasaran global pada tahun depan.
Langkah berani ini disifatkan sebagai satu perkembangan perniagaan yang amat strategik memandangkan segmen sut lumba berprestasi tinggi ketika ini didominasi secara mutlak oleh jenama-jenama gergasi dari Eropah seperti Dainese, Alpinestars, Spidi, dan REV'IT!.
Umum mengetahui, LS2 sudah berjaya membina reputasi yang sangat kukuh dalam arena sukan permotoran menerusi pengeluaran topi keledar berkualiti tinggi yang setaraf dengan jenama premium antarabangsa yang lain.
Malah, mereka telah membuktikan keupayaan teknologi pembuatan dari China apabila topi keledar andalan mereka, LS2 Thunder C GP (FF805) berjaya melepasi piawaian homologasi ketat FIM (Fédération Internationale de Motocyclisme), membolehkannya digunakan dalam perlumbaan kelas perdana peringkat dunia.
Kualiti produk LS2 ketika ini dibuktikan menerusi tajaan ke atas pelumba-pelumba antarabangsa bertaraf dunia, antaranya bintang sensasi yang bakal beralih ke MotoGP, Fermin Aldeguer, serta pelumba Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK), Iker Lecuona.
Justeru, penghasilan sut lumba dilihat sebagai pelengkap kepada ekosistem jenama berkenaan.
Ia bukan sahaja membolehkan LS2 menawarkan pakej kelengkapan perlumbaan dari 'kepala hingga ke kaki' buat pelumba tajaan mereka, malah mengukuhkan lagi portfolio sedia ada yang merangkumi jaket, sarung tangan, seluar, but, beg, dan aksesori perlindungan diri.

