LUCA Marini Berang Dituduh Nak Tinggalkan Honda

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/24/20241 min read

PELUMBA Repsol Honda, Luca Marini mengakui marah apabila dikatakan mahu meninggalkan pasukan MotoGP yang sedang bergelut dengan prestasi dan baru disertainya pada penghujung musim lalu itu.

Berdasarkan pelbagai laporan media di Eropah, adik kepada legenda MotoGP Itali itu didakwa sedang mencari jalan untuk menamatkan kontrak bersama Repsol Honda selepas tiba sebagai pengganti kepada Marc Marquez.

Pelumba kelahiran Itali itu menyertai HRC dengan kontrak selama dua tahun dan selepas lima pusingan bersama Honda RC213V, Marini menjadi satu-satunya pelumba di grid MotoGP ketika ini masih belum mengutip mata.

Dan ketika disoal mengenai kemungkinan itu menjelang Grand Prix Catalunya, semalam, Marini menafikan sekeras-kerasnya laporan itu.

"Ini adalah sesuatu yang buat saya benar-benar marah," kata Marini memetik loporan di Crash.net. “Saya tidak tahu mengapa tetapi seseorang menyebarkan berita ini untuk... Saya tidak tahu ayat dalam bahasa Inggeris, tetapi mempunyai tujuan, untuk cuba dan melakukan sesuatu.

"Saya benar-benar mempercayai projek (Honda) ini. Kami baru mengharungi lima perlumbaan! Kami benar-benar di permulaan dan banyak perkara boleh berubah ketika musim sedang berjalan kerana Honda memang bersungguh-sungguh, bekerja dengan keras dan membawa banyak komponen baharu, komponen yang besar setiap ujian.

"Jadi saya amat fokus di sini dan berpuas hati mengenai kerja bersama mereka.

"Benar ia sukar kerana tahun lalu saya bersaing untuk merebut podium pada setiap perlumbaan dan kini bertarung untuk meraih satu mata adalah sukar.

"Tetapi saya benar-benar berpuas hati dengan semua orang yang saya bekerjasama dan kami menjadi lebih baik," kata Marini.

Marini dan rakan sepasukannya Joan Mir, yang turut dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Honda menyertai sesi ujian persendirian di Mugello selepas Le Mans yang disifatkan sebagai positif.

"Ketika ini kami perlu kembali ke landasan yang sepatutnya kerana jelas bagi saya sejak ujian pertama di Malaysia," kata Marini yang mengakui Honda akan menggunakan komponen baharu di Catalunya.

"Tetapi kami memerlukan masa untuk bangkit daripada tahap ini. Bermula daripada perlumbaan ini mungkin kami boleh melihat perbezaan tetapi ia sukar untuk dijelaskan jika prestasi akan berubah hanya selepas satu ujian di Mugello."