LUCA Marini Dah Keluar Unit Rawatan Rapi, Tapi Kena 'Tahan' 10 Hari Lagi!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/3/20251 min read


PELUMBA MotoGP Honda HRC Castrol, Luca Marini seperti diketahui mengalami kemalangan serius semasa ujian di Litar Suzuki, Jepun sebagai persiapan untuk menghadapi perlumbaan Suzuka 8 Hours pada 28 Mei lalu.
Kemalangan teruk itu menyaksikan pelumba Itali itu mengalami pelbagai kecederaan termasuk dislokasi pinggul kiri, kerosakan ligamen di lutut kiri, patah tulang sternum dan klavikula kiri serta paru-paru.
Susulan kemalangan itu, Marini menjalani rawatan di Jepun dan berada di bawah pemerhatian unit rawatan rapi dan perkembangan terbaharu, adik kepada legenda MotoGP Valentino Rossi itu sudah pun dibenarkan keluar daripada unit berkenaan.
Dan dia kini dijangka boleh kembali ke Itali dalam tempoh sepuluh hari, menurut perkembangan terbaharu daripada bapanya, Massimo Marini kepada Resto del Carlino.
"Kami bercakap dengannya di telefon dan dapat mendengar suaranya dengan baik, sekali pun suaranya masih kedengaran penat," kata Massimo.
"Apa yang paling utama adalah gambar rawatan klinikalnya menunjukkan penyembuhan yang pantas dan dia sudah pun keluar daripada unit rawatan rapi.
"Dalam tempoh 10 hari, atau mungkin lebih awal, dia boleh dibenarkan pulang ke Itali. Sudah tentu, dia mengikuti apa yang dibuat boleh Honda."
Satu lagi perkembangan positif yang diumumkan Massimo adalah Luca Marini tidak perlu menjalani pembedahan.
Marini pada Grand Prix British 2025 dikenakan penalti membabitkan tekanan tayar yang menyaksikannya jatuh daripada kedudukan ke-8 ke tempat ke-15.
Apa yang menarik, sekali pun tidak bergelar pelumba Honda terbaik dalam kempen MotoGP musim ini, Marini menjadi satu-satunya pelumba MotoGP yang berjaya mengutip mata dalam ketujuh-tujuh pusingan musim ini.
Tetapi situasi itu akan berubah kerana Honda akan beraksi di Aragon pada minggu ini tanpa khidmatnya.
