LUCA Marini Rasmi Sertai Repsol Honda MotoGP, Ikut Jejak Vale

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/28/20231 min read

SELEPAS deretan spekulasi, khabar angin dan teka-teki, Repsol Honda akhirnya mengumumkan pengganti kepada pelumba bintangnya Marc Marquez iaitu Luca Marini.

Marini mengambil alih posisi yang ditinggalkan Marquez yang membuat keputusan meninggalkan pasukan 'Factory' untuk menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini musim depan.

Adik kepada legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi itu mengikat kontrak bersama HRC selama dua musim bermula 2024.

Keputusan Marini itu - sekalipun nampak mengecewakan - meninggalkan pasukan milik abangnya VR46 Ducati yang juga pasukan satelit Ducati begitupun seperti mengikuti jejak Rossi sebelum ini.

Rossi seperti diketahui adalah juara dunia sembilan kali dengan kejayaan itu turut diperoleh bersama Repsol Honda.

Sejak keputusan mengejut dibuat Marquez beberapa bulan lalu yang mendatangkan 'pening kepala' kepada HRC, beberapa nama dikaitkan dengan posisi panas itu antaranya Johann Zarco, Maverick Vinales, Aleix Espargaro, Miguel Oliveira, Fabio di Giannantonio dan Pol Espargaro.

Honda pada awalnya dikatakan hanya ingin menawarkan kontrak selama setahun yang membuatkan ramai pelumba menarik diri yang menyaksikan Di Giannantonio sebagai antara pilihan.

Begitupun, pasukan itu akhirnya 'mengendurkan' sedikit ego mereka dan bersetuju untuk menawarkan Marini kontrak lebih panjang dan ia dikatakan memiliki kaitan dengan Vale.

Sekalipun tidak berjaya menyaingi keputusan cemerlang yang diperoleh bekas rakan sepasukannya di VR46, Marco Bezzecchi yang menamatkan kempen di kedudukan ketiga keseluruhan MotoGP 2023, Marini tetap menampilkan aksi terpuji dengan turut menaiki podium dan meraih petak utama musim ini selain menamatkan kempen di carta ke-8 keseluruhan.

Honda dikatakan kagum dengan kualiti dan kemampuan dimiliki Marini yang dikatakan pelumba yang bijak, analitik dan mampu memberikan maklum balas yang tepat kepada pasukan selain sedia menghabiskan banyak masa untuk menganalisa data.

Marini akan bergandingan dengan juara dunia MotoGP 2020, Joan Mir di Repsol Honda.