LUCA Marini Sertai Tech3 KTM Musim 2027

Perpindahan Luca Marini ke Tech3 KTM sekali gus menoktahkan perjalanannya selama tiga musim bersama pasukan 'kilang' Honda HRC, yang mula disertainya pada awal musim 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/26/20261 min read

PASUKAN Tech3 KTM sah mendapatkan khidmat pelumba Itali, Luca Marini bagi mengharungi saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bermula kempen musim 2027.

Perpindahan pelumba berusia 29 tahun itu sekali gus menoktahkan perjalanan tiga musimnya bersama pasukan kilang Honda HRC, yang mula disertainya pada awal musim 2024.

Pemergian Marini dari kem Honda sememangnya sudah dijangka awal tahun ini, sejurus pengeluar dari Jepun itu mengumumkan senarai pelumba baharu mereka yang membariskan Fabio Quartararo dan David Alonso, bersama Johann Zarco serta Diogo Moreira.

Pintu buat Marini untuk menyertai Tech3 terbuka luas susulan keputusan Enea Bastianini untuk menyertai pasukan Trackhouse Aprilia.

Dan ia menjadikan KTM sebagai pasukan keempatnya di kelas perdana sejak membuat penampilan sulung bersama Esponsorama Ducati pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tech3, Guenther Steiner, berkata pihak pengurusan sudah lama memantau perkembangan Marini dan amat gembira menyambut kehadirannya yang membawa mentaliti serta pendekatan tepat untuk matlamat pasukan.

"Tahun 2027 akan menyaksikan 'reset' besar dalam MotoGP. Kehadiran pelumba sepertinya yang memahami cara berkolaborasi dengan jurutera dan membangunkan jentera dalam keadaan mencabar adalah sangat penting untuk era baharu ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Red Bull KTM Tech3, Nicolas Goyon, menyifatkan pengalaman luas Marini di pentas tertinggi MotoGP sebagai satu aset yang amat bernilai buat pasukan.

"Dia memiliki tahap pemahaman yang sangat tinggi mengenai apa yang diperlukan daripada kedua-dua sudut iaitu pelumba dan teknikal, dan kami yakin dia akan menjadi watak penting dalam kemajuan jentera KTM kami," katanya.