LUCA Marini Tak Mahu Toprak Di Repsol Honda

Blog post description.

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/9/20241 min read

PROSPEK kehadiran pelumba bintang Turki, Toprak Razgatlioglu di Repsol Honda bukan sesuatu yang dialu-alukan oleh pelumba pasukan MotoGP yang sedang bergelut itu, Luca Marini.

Juara dunia WorldSBK 2021, Razgatlioglu sebelum ini dikaitkan dengan penghijrahan ke MotoGP sebelum membuat 'Pusingan-U' untuk menghormati kontraknya bersama BMW Motorrad.

Dan antara pasukan yang dikaitkan dengan pelumba itu adalah pasukan 'kilang' Repsol Honda tetapi bagi pelumbanya yang sudah mengikat kontrak sehingga 2025, Razgatlioglu bukan pelumba yang dinanti-nantikan.

"Saya kata tidak!" kata Marini memetik laporan GPOne ketika ditanya situasi membabitkan Razgatlioglu.

"Jika ada pelumba yang akan datang apa yang menarik adalah mendapatkan pelumba daripada Aprilia atau KTM, yang akan membawa lebih pengetahuan.

"Saya boleh menjadi contoh apabila tiba dari Ducati. Selain itu, jika pelumba baru yang datang, dia perlu seorang yang teknikal, mampu untuk berkongsi informasi, memberi maklum balas dengan pantas yang boleh difahami."

Marini dalam pada itu turut berharap rakan sepasukannya musim ini, Joan Mir akan kekal bersama pasukan itu sekalipun situasi membabitkan kontrak masih belum diputuskan.

"Saya dapat menyesuaikan diri dengan baik bersama Mir. Dia lelaki yang baik, dan saya berharap dia akan kekal bersama pasukan untuk MotoGP 2025," katanya.

Mir yang menyertai Repsol Honda musim lalu sekali lagi mengharungi kempen mengecewakan setakat ini untuk sekadar menghuni tangga ke-18 carta pelumba dengan mengumpul 13 mata.

Manakala Marini hampir mencipta sejarah menamatkan separuh musim MotoGP tanpa mengutip mata selepas menamatkan perlumbaan GP Jerman 2024 di tangga ke-15 - keputusan yang diperoleh susulan penalti yang diterima oleh Augusto Fernandez.