LUCA Marini Tak Menyesal Sertai Honda

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/31/20241 min read

LUCA Marini mengakui pilihannya menyertai Repsol Honda bukan kesilapan sekalipun hampir mencipta aib menjadi pelumba sepenuh masa di MotoGP tidak meraih sebarang mata kejuaraan sebelum rehat musim panas.

Marini menyertai pasukan 'kilang' Honda, Repsol Honda dari pasukan VR46 Ducati milik abangnya, Valentino Rossi musim ini sebagai pengganti kepada Marc Marquez.

Tetapi daripada menjadi pelumba yang mampu bersaing untuk podium di VR46 musim lalu, pelumba kelahiran Itali itu sekadar mengisi kelompok belakang dan satu-satunya mata diperoleh adalah ketika Pusingan 9 di GP Jerman 2024.

Malah, kedudukan ke-15 yang memberikannya 1 mata kejuaraan itu turut diperoleh selepas ada pelumba di hadapannya dikenakan penalti peraturan tekanan tayar.

Dan satu mata yang diperolehnya meletakkannya di kedudukan ke-23 carta kejuaraan, tercorot di kalangan pelumba sepenuh masa malah berada di belakang pelumba ujian KTM, Dani Pedrosa yang mengumpul 7 mata daripada satu perlumbaan.

"Berbanding tahun lalu, melihat kedudukan saya dalam carta tidak mudah," kata Marini kepada Sky Italia.

"Tetapi saya sedar dengan pilihan yang saya buat, proses yang perlu dilakukan untuk kembali ke puncak. Saya tidak boleh kata berapa lama ia akan mengambil masa.

"Kami mengubah beberapa perkara juga dari sudut jawatan di peringkat atasan, dengan jurutera-jurutera Itali dan Eropah yang harapnya datang daripada F1.

"Saya berharap pada penghujung tahun ini kami boleh merapatkan jurang dengan pendahulu, mampu untuk berada di Kelayakan 2, kemudian kita lihat apa yang boleh dibuat pada tahun depan."

Ketika bersama VR46 Ducati musim lalu, Marini berjaya menaiki podium dalam dua perlumbaan utama dan menamatkan kempen di tangga ke-8 keseluruhan dan mengumpul 201 mata.

"Saya sentiasa melihat dari sudut yang positif, kami tidak berada di mana yang kami mahu berada dan saya melihat kegigihan daripada kesemua jurutera yang bekerja terhadap projek ini," kata Marini.

"Pada awal tahun kami berfikir yang kami berada di tahap yang tinggi, realitinya jentera musim ini adalah langkah ke belakang berbanding tahun lalu yang saya uji pada ujian pertama di Valencia.

"Tetapi perkara sedang berubah, laluannya adalah yang sebetulnya sekalipun ia mengambil sedikit masa. Kami harap kami dapat memulakannya semula dengan keadaan yang baik di Silverstone juga kerana perlumbaan terakhir adalah yang terbaik."