PELUMBA Repsol Honda, Luca Marini mengakui cukup teruja untuk beraksi di Grand Prix Indonesia 2024, gelanggang yang disifatkannya bagaikan 'laman sendiri' buat Honda.
Menyertai Repsol Honda daripada pasukan satelit Ducati, VR46 pada musim ini, Marini yang juga adik kepada legenda MotoGP, Valentino Rossi menjadi antara pelumba paling bergelut musim ini.
Selepas 14 pusingan berlangsung, pelumba kelahiran Itali itu hanya mampu untuk mengumpul lima mata kejuaraan dan menghuni tangga ke-24 kedudukan pelumba dalam carta musim ini.
"Saya tidak sabar untuk ke Indonesia, Honda mempunyai kehadiran yang cukup menakjubkan di sini, kamu dapat melihatnya di mana saja kamu pergi," kata Marini.
Selain pemilikan besar terhadap kenderaan Honda di Indonesia, keterujaan Marini turut bersandarkan kepada kebangkitan yang ditunjukkannya terutama pada pusingan sebelum ini di Misano, Itali.
"Kami tiba (di Indonesia) dalam tempoh yang baik, mengharungi perlumbaan di mana kami bertambah baik dan membuat kejuatan dan kini jentera kami berada pada posisi terbaik sejak saya tiba di Honda.
"Saya cukup teruja untuk kembali berlumba dan terus bekerja keras, jadi mengharungi tiga perlumbaan secara berturut-turut adalah positif untuk saya."
"Indonesia adalah tempat yang saya gemari dan saya amat teruja untuk melihat apa yang kami boleh capai dengan Honda RC213V."
Litar Mandalika juga pastinya antara litar yang memberikan memori indah buat Marini apabila ia turut menjadi perlumbaan di mana pelumba itu merangkul petak utama pertamanya di MotoGP.
Malah Marini turut meraih podium pada Perlumbaan Sprint di Mandalika tahun lalu namun menamatkan perlumbaan dengan status 'DNF' pada perlumbaan utama.