LUCA Marini Yakin Kemampuan Honda Untuk Bangkit
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/2/20251 min read


HONDA dijangka akan menguji jentera serba baharu ketika ujian pra-musim di Sepang, jentera yang diharapkan mampu meningkatkan cabaran pasukan itu pasukan musim ini, kata pelumba Honda HRC Cstrol, Luca Marini.
Pengeluar Jepun itu mengharungi kempen mengecewakan pada musim lalu apabila menduduki tangga terakhir kategori pengeluar dan pelumba malah tidak berjaya mengutip 100 mata.
Lebih mengecewakan bagi Marini yang menggantikan Marc Marquez pada tahun lalu, adik kepada legenda MotoGP Itali itu menamatkan kempen di kedudukan tercorot kategori pelumba selepas mengutip sekadar 14 mata.
Honda pada musim ini tidak lagi 'bersama' Repsol namun pasukan itu melakukan beberapa perubahan besar termasuk membawa masuk Romano Albesiano sebagai Pengarah Teknikal tahun lalu.
Dan mengikuti ujian di Barcelona pada November tahun lalu, Marini percaya kebangkitan Honda akan mampu dilihat pada pertengahan musim ini dan ia dilihat sebagai realistik.
"Saya fikir adalah terlalu awal pada ketika ini untuk merasakannya, ia sesuatu yang generik kepada saya tahu Honda sedang berusaha dan saya fikir pada babak pertama musim ini kami akan mencuba prototaip yang sepenuhnya baharu pada ujian di Sepang," kata Marini memetik laporan Crash.net.
"Tetapi kami masih perlu mengubah segala-galanya, tetapi dengan mengikuti arah dan maklumbalas daripada tahun lalu, saya fikir kami boleh memulakan musim ini dengan tahap lebih tinggi.
"Apapun ia masih belum mencukupi, sudah tentu, untuk bersaing untuk sasaran yang kami mahu capai.
"Tetapi selepas separuh musim, lebih atau kurang pada pertengahan musim, ia boleh menjadi tempoh yang bagus untuk cuba melakukan sesuatu yang lebih baik dengan pakej lebih baik, lebih kompetitif.
"Tetapi segala-galanya perlu berada di arah yang betul tanpa sebarang kesilapan. Jadi ia tidak mudah."
Berikutan peraturan konsesi MotoGP, Honda boleh menurunkan kesemua pelumbanya untuk ujian 'shakedown' MotoGP yang bermula pada Jumaat lalu sehingga hari ini di Sepang.
