MAAF Honda, APRILIA Tak Rela Lepas Maverick Vinales, Miguel Oliveira

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/13/20231 min read

APRILIA menegaskan pasukan itu tak berhasrat melepaskan walau salah seorang daripada pelumbanya, Maverick Vinales atau pelumba satelit Miguel Oliveira untuk menyertai Repsol Honda, musim depan.

Pasukan Repsol Honda berada dalam keadaan 'huru hara' sejak bintangnya Marc Marquez sah meninggalkan pasukan itu sejurus musim ini berakhir sekalipun ia melanggar kontraknya.

Dan lebih menyakitkan, selain menolak kontrak bernilai jutaan Euro bersama Honda, juara dunia MotoGP enam kali itu bukan menyertai pasukan utama, namun satelit Ducati, Gresini Racing musim depan.

Honda sebelum ini turut kehilangan khidmat pelumba berkualiti Alex Rins kepada Yamaha yang menyaksikan situasi menjadi lebih sukar buat pengeluar Jepun itu.

Seperti terdesak, Honda juga dikatakan bersedia untuk 'mencantas' mana-mana kontrak sedia ada pelumba dengan Vinales dan pelumba RNF Racing, Oliveira menjadi antara sasaran utama.

Johann Zarco juga dikatakan menjadi antara pilihan Repsol Honda untuk bergandingan dengan Joan Mri namun bos LCR Honda, Lucio Cecchinello dilaporkan tak gembira jika perkara itu diteruskan.

Terkesan dengan perkembangan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola menegaskan dia mahu keempat-empat pelumbanya kekal bagi menghadapi musim depan.

"Saya mahu keempat-empat pelumba saya dan saya tidak akan benarkan mereka pergi," kata Rivola kepada GPOne.

Begitupun, Rivola turut mengesahkan tiada klausa yang diletakkan kepada Oliveira jika pelumba itu dihubungi oleh pasukan utama atau 'Factory' dan mengesahkan tiada seorang pun pelumbanya berbincang untuk menyertai Honda setakat ini.

"Tiada seorang pun daripada mereka berkata aapa-apa dan saya mahu mengekalkan semua orang. Kami juga menandatangani seorang pelumba pada pertengahan musim."

Oliveira dilaporkan menjadi pilihan utama Honda untuk menggantikan Marquez dan jika ia berjaya, perkembangan itu pasti menjadi sesuatu yang agak mengejutkan memandangkan ia sudah agak lewat.